Penagih dadah aktif pecah rumah, curi kenderaan diberkas

MIRI— Kelicikan empat penagih dadah yang aktif melakukan jenayah curi kenderaan dan pecah rumah akhirnya tumpas selepas mereka ditahan polis dalam serbuan pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata kesemua suspek lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 22 hingga 50 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri di tepi jalan hadapan sebuah rumah tidak bernombor Pujut 8, di sini kira-kira pukul 3 petang.

“Hasil soal siasat membawa kepada penemuan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva dalam keadaan beberapa komponan telah dileraikan yang disembunyikan dalam kawasan semak di tepi Jalan Permyjaya By Pass disyaki kenderaan curi. 

“Modus operandi kumpulan ini adalah mensasarkan rumah yang tiada penghuni dengan cara pecah masuk ke rumah dan curi kenderaan. Apabila sesuatu sasaran dikenalpasti, kumpulan ini akan memecah masuk dengan menggunakan pelbagai cara antaranya dengan mengumpil pintu rumah. 

“Setelah berjaya memecah masuk rumah, kumpulan ini menyasarkan barang-barang berharga dan melarikan kenderaan yang diletakkan di hadapan rumah. Semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai kesalahan jenayah termasuk kesalahan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson menambah, hasil saringan ujian air kencing ke atas kesemua suspek mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis telah menyelesaikan beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Miri melibatkan nilai keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM18,000.

 “Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 27 Disember lalu,” katanya.

Untuk kesalahan pecah rumah dan curi, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya. 

Manakala bagi kes curi kenderaan, kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Gambar ihsan PDRM
Next Post Previous Post