PSB PDP bergabung, beritahu Abang Jo jangan berunding sesama sendiri

KUCHING—Cadangan penggabungan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) perlu dikemuka kepada pucuk kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum dimuktamadkan. 

Menurut Naib Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sebarang keputusan berhubung tidak sepatutnya dilakukan secara persendirian.

"Memandangkan PDP merupakan salah satu parti komponen GPS, apa-apa yang kita nak lakukan beritahu dengan pengerusi gabungan dahulu dan juga rakan-rakan parti lain dalam gabungan. 

"Janganlah kita lakukan apa-apa secara persendirian, kerana sebelum ini PSB adalah lawan kita, sekarang mereka nak menyertai kita, jadi pergilah minta pandangan dan cadangan. 

"Dengan cara ini semangat perpaduan dan persefahaman di dalam GPS akan menjadi lebih kukuh," katanya selepas menyaksikan Raptai Penuh Ambang Malam Sambutan Tahun Baru 2024 di Tebingan Sungai Kuching malam tadi, lapor Jiwa Bakti.

Bagaimanapun, Abdul Karim menyifatkan gabungan antara dua parti tersebut mencerminkan perpaduan yang erat antara masyarakat di negeri ini dan sesuatu yang sangat dialu-alukan.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PSB, Dr Johnical Rayong Ngipa menyatakan bahawa parti itu dijangka dibubarkan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina tahun depan selepas menerima ‘lampu hijau’ untuk kira-kira 80,000 ahlinya menyertai PDP secara serentak.

Bagaimanapun, Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis baru-baru ini menjelaskan GPS belum memberikan 'lampu hijau' atau kebenaran kepada ahli PSB menyertai PDP sebagai antara komponen gabungan politik itu.
Next Post Previous Post