Tun Daim disiasat berlandaskan Undang-Undang, Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001

PUTRAJAYA — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin memperbetulkan fakta berhubung kenyataan Tun Abdul Daim Zainuddin mengenai siasatan kes beliau yang telah menimbulkan kekeliruan dan salah faham kepada masyarakat umum.

Pertamanya, SPRM tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Tun Abdul Daim telah pun melakukan sebarang kesalahan.

Berhubung siasatan kes Tun Abdul Daim ini, SPRM telah membuka kertas siasatan pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

Pada 7 Jun 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun Abdul Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut. 

Tun Abdul Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan telah diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023; 10 Ogos 2023; 11 September 2023; 11 Oktober 2023 dan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember 2023, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih). 

Tun Abdul Daim disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). 

Walau bagaimanapun, berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya, dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah. 

Perlu ditegaskan bahawa SPRM merupakan sebuah Suruhanjaya bebas yang bertindak secara profesional mengikut undang-undang dan peraturan yang ditetapkan, serta dipantau oleh lima badan pemantau bebas.

Sehubungan itu, SPRM menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes tersebut dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan.

Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya

30 DISEMBER 2023
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.