Bayi berusia 3 bulan, antara alami kecederaan dalam kemalangan berantai melibatkan 4 buah kenderaan di Jalan Bintulu-Tatau

BINTULU: Bayi lelaki berusia tiga bulan antara yang mengalami kecederaan dalam kemalangan berantai yang melibatkan empat buah kenderaan di kilometer 61 Sungai Kelawit Jalan Bintulu-Tatau, tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak berkata, tiga lagi mangsa yang merupakan dua lelaki dan seorang wanita dewasa turut dilaporkan mengalami kecederaan. 

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tatau bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan sekitar jam 12.50 tengah hari.

"Sampai di lokasi pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan empat buah kenderaan yang mana salah satu daripadanya merupakan sebuah SUV," jelas beliau.

Maklumat awal yang diterima jelasnya mengatakan semasa kemalangan, kesemua kenderaan terbabit dikatakan sedang bergerak seiring dari arah Sibu sebelum berlakunya perlanggaran yang melibatkan keempat-empat kenderaan terbabit.

Lima lagi mangsa yang berada dalam kenderaan bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

"Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan Tatau bagi diberikan rawatan susulan," tambah beliau.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post