Fadilah tidak tahu menahu tentang Langkah Dubai yang digembar-gemburkan JKOM

KUCHING-- Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof tidak tahu menahu tentang "Langkah Dubai" seperti yang digembar-gemburkan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Ismail Yusop.

Tegas Ahli Parlimen Petra Jaya itu, wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah berulang kali menyatakan sokongan penuh kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Sokongan (daripada Ahli-ahli Parlimen GPS) ini tidak berubah dan kekal sehingga kini," katanya ketika dihubungi Borneo Network sambil menafikan dakwaan "Langkah Dubai" tersebut.

Jelasnya, ini bagi memastikan fokus utama iaitu memperkasakan semula ekonomi negara dapat dilaksanakan dengan berkesan selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Fadillah yang juga Naib Presiden Kanan PBB berkata, beliau tidak pernah mendengar khabar angin tersebut seperti mana yang didakwa untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Tegas beliau, Ahli-ahli Parlimen GPS tidak mempunyai masa untuk bermain sentimen politik sedemikian dan apa yang menjadi keutamaan adalah memulihkan semula ekonomi Malaysia ke arah yang betul.

"Saya tidak tahu (tentang 'Langkah Dubai). Apa yang sering GPS ulangi banyak kali adalah keutamaan kita adalah untuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil.

"Kita mahu terus fokus seluruh tenaga kita untuk memulihkan semula ekonomi dan menjaga kebajikan rakyat," ujarnya lagi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah J-KOM mendakwa ada gerakan terbaru sedang dirancang bagi menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri yang didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan.

Rancangan tersebut yang digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin PN termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Beliau turut mendakwa satu pertemuan diadakan semasa lawatan itu untuk memberikan tugas khusus kepada 'pegawai' yang bertanggungjawab bagi mengenal pasti ahli-ahli parlimen yang berpotensi mengalih sokongan mereka kepada pembangkang dengan menerima sogokan.
Next Post Previous Post