Mawan Serah Cek Pampasan Tanah Kepada 61 Orang Penerima

PAKAN — Sebanyak 75 keping cek yang berjumlah keseluruhan RM1,104,773.55 juta telah diserahkan kepada 61 orang penerima di Pakan sempena Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah untuk tiga projek.

Projek tersebut ialah naiktaraf jalan-jalan balak negeri Sarawak (Fasa IV) di Bahagian Sarikei dari Rumah Saban Sungai Ipoh/Ulu Kota Pakan yang sepanjang 3.4 kilometer serta melibatkan keluasan tanah 8.0868 hektar.

Bagi projek kedua pula iaitu Jalan Pakan/Ulu Kota (Fasa 3) dan Penggantian Tujuh Jambatan Sementara di bawah (Fasa 1) kepada jambatan kekal yang merangkumi 16.856 hektar iaitu satu bidang tanah berhakmilik dan 32 bidang tanah Rezab Komunal Bumiputera.

Manakala projek ketiga ialah jalan bersambung menuju pasar Pakan (Road to Pakan Town Extension) yang sepanjang 1.0 kilometer yang turut meliputi keluasan tanah 0.9885 hektar.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom di Bilik Serbaguna Pejabat Daerah Pakan.

Pada masa yang sama, Mawan turut memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan penekanan kepada pembangunan empat infrastruktur asas iaitu air, jalan, elektrik dan digital.

“Kesemua pembangunan infrastruktur asas tersebut adalah penting untuk mencapai visi negeri maju menjelang 2030.

“Bagi infrastruktur asas kedua, yang kita (kerajaan) tekankan ialah pembinaan jalan pesisir walaupun memerlukan kewangan yang banyak, namum jalan ini boleh dibina dalam tempoh tujuh hingga sembilan tahun,” katanya.

Mawan yang juga ADUN Pakan memberitahu bahawa pembinaan jalan pesisir ini adalah untuk menghubungkan Lebuh Raya Pan Borneo dan yang paling penting boleh membuka banyak kawasan untuk pertanian.

“Infrastruktur asas bekalan elektrik pula, Sarawak mampu menjana tenaga yang mencukupi daripada tiga empangan yang sedia ada.

“Bagi infrastruktur asas yang ditekankan Kerajaan Sarawak ialah infrastruktur digital iaitu selaras usaha untuk meningkatkan kelajuan internet bagi kemudahan semua,” ujar Mawan.

Oleh sebab itu kata Mawan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak sentiasa berusaha untuk mencari jalan bagi mendapatkan pendapatan yang lebih kepada negeri Sarawak.

“Tujuannya ialah untuk merealisasikan usaha kerajaan bagi melipat gandakan pembangunan di kawasan luar bandar dan akan memberi impak kepada ekonomi negeri,” ujarnya.

Bagi membangunkan kesemua infrastruktur tersebut katanya, kerajaan memerlukan tanah bagi memastikan projek pembangunan tersebut dapat dilaksanakan untuk kepentingan awam.

“Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma, sebaliknya diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri Bab 81 dan Perkara 13 Perlembagaan Persektuan.

“Semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

“Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa,” ujarnya.

Mawan juga turut menerangkan tiada undang-undang boleh memperuntukan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang mencukupi.

Gambar & Teks Adit
Next Post Previous Post