Kapal karam di Batang Paloh, empat kru selamat

Antara mangsa yang selamat dalam insiden kapal karam di Batang Paloh hari ini.

TANJUNG MANIS— Empat kru termasuk seorang warga tempatan selamat selepas kapal menangkap ikan karam di perairan berhampiran Jambatan Batang Paloh di sini pagi tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, dalam kejadian 11 pagi itu, kapal menangkap ikan itu terperangkap di kawasan beting pasir cetek.

Katanya, arus deras menyebabkan kapal menangkap ikan berdaftar di Sibu tersebut senget dan karam.

“Ketika kejadian, kapal itu membawa empat kru berusia lingkungan 24 hingga 62 tahun terdiri daripada seorang kapten kapal warga tempatan dan tiga awak-awak warga Indonesia.

“PGO Sarawak menerima panggilan dari kawalan Tanjung Manis mengenai insiden mangsa dikhuatiri lemas seperti alamat di atas dan mengarahkan PKO Tanjung Manis ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba bantuan BBP Tanjung Manis Hasbullah Juli yang berdekatan menggunakan bot datang membantu menyelamatkan mangsa dan membawa mereka ke tempat pembinaan projek Jambatan Batang Paloh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa semua dalam keadaan selamat namun tiada sebarang pengenalan diri kerana tidak sempat dibawa semasa menyelamatkan diri

Gambar PGO Sarawak 
Next Post Previous Post