Wanita 44 tahun di Kuching antara 16 korban rabies di Sarawak

KUCHING-- Seorang wanita berumur 44 tahun di sini antara korban terbaharu wabak rabies di Sarawak.  

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak Dr Ooi Choo Huck berkata, mangsa mula bergejala pada 28 November 2023 dan meninggal dunia pada 12 Disember 2023 di Kuching. 

"Sampel klinikal yang diuji telah mengesahkan kes dijangkiti rabies. Mangsa mempunyai enam ekor
kucing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan liar dan kesemua kucing peliharaan ini tidak pernah diberi vaksinasi rabies.

"Salah seekor kucing peliharaan kes meninggal 2 bulan yang lepas. Mangsa kes ini juga menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. 

"Bagaimanapun, mangsa menafikan sejarah gigitan haiwan tetapi berdasarkan pemerhatian
klinikal, kes mempunyai kesan lama cakaran dan luka, dan sentiasa dijilat oleh kucing peliharaan beliau namun kes tidak pernah mendapat rawatan atau menerima vaksinasi rabies di mana-mana fasiliti kesihatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut kes rabies di Sarawak, Dr Ooi berkata, Sarawak merekodkan 16 kes kematian akibat rabies dalam kalangan manusia bagi tempoh 1 Januari hingga 13 Disember tahun ini.

Jelasnya, 16 kes kematian akibat rabies itu daripada 18 kes yang dilaporkan di Sarawak dalam tempoh tersebut.

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak ingin memaklumkan bahawa sebanyak 18 kes rabies dalam kalangan manusia termasuk 16 kes kematian telah dilaporkan di Sarawak dari 1 Januari hingga 13 Disember tahun ini.

"Daripada 18 kes yang dilaporkan tahun ini, lima kes adalah dari Bahagian Sibu, empat kes adalah dari Bahagian Serian, empat kes dari Bahagian Kuching, tiga kes dari Bahagian Bintulu dan dua kes dari Bahagian Samarahan. 

"Terdapat peningkatan kes berbanding hanya 14 kes bagi tempoh sama pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak empat kes atau 28.6 peratus," katanya.

Tambah Dr Ooi, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 73 kes dengan 66 kematian.

Susulan peningkatan kes rabies dalam kalangan manusia beserta haiwan iaitu anjing dan kucing di Sarawak, beliau menasihati orang awam agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan jangkitan rabies.

Pada masa sama beliau memberitahu JKN Sarawak ingin mengingatkan orang ramai agar memastikan anjing dan kucing peliharaan diberi vaksinasi rabies yang lengkap setiap tahun. 

"Segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan selepas digigit atau dicakar atau terkena air liur pada bahagian mukosa dan kulit yang mempunyai luka atau radang, termasuk haiwan peliharaan sendiri. 

"Vaksin anti-rabies boleh didapati di 130 buah Post-Bite Clinic di kemudahan kesihatan awam dan di 29 buah fasiliti swasta di seluruh negeri Sarawak," ujarnya.
Next Post Previous Post