Gas 14kg RM26.50 Sarawak dijual RM200 di Krayan, Kalimantan Utara

KUCHING— Ramai netizen berhujah memang patut harga gas silinder petroleum cecair (LPG) di negeri ini jauh lebih murah dari negara jiran tetangga, Indonesia kerana Sarawak adalah pengeluar minyak gas terbesar.

Sambil mengecam Rohingya tidak tahu bersyukur, mereka berhujah harga RM62 untuk 12 kilogram (kg) di sana adalah berpatutan manakala RM26 untuk 14kg di Sarawak tetap mahal.

Sebagai negeri pengeluar terbesar minyak dan gas di Malaysia kata mereka, harga yang wajar ialah RM20 sebelum subsidi dan RM10 selepas subsidi.

Hakikatnya, Indonesia juga kaya dengan sumber gas asli. Malah pengeluarannya antara yang terbesar di Asia selepas China dan India. 

Mungkin netizen terlepas pandang, Papua New Guinea menduduki ranking ke-18, sebagai pengeluar terbesar gas asli di dunia, menurut artikel yang disiarkan portal Offshore-Technology pada September lalu. 

Menariknya mengenai Papua, wilayah itu mempunyai Loji Gas Asli Cecair (LNG) yang disifatkan oleh media sebesar raksasa dilengkapi fasiliti bertaraf dunia.

Loji Tangguh Train 3 itu dibangunkan di Teluk Bintuni, wilayah Papua Barat, Indonesia Timur dengan menelan kos USD$4.83 bilion (RM22.5 bilion).

Loji yang dirasmikan oleh Presiden Republik Indonesia Joko ‘Jokowi’ Widodo minggu lalu ini mampu menghasilkan 11.4 juta tan metrik gas setahun iaitu peningkatan sebanyak 3.8 juta tan metrik berbanding tahun sebelumnya.

"Projek ini akan menyumbang secara signifikan untuk menyokong sasaran pengeluaran gas harian negara 2030,” kata Jokowi seperti dipetik Asia Nikkei pada 24 November lalu.

Namun harga gas LPG di negara itu lebih mahal, malah berlipat kali ganda bergantung dengan wilayah. 

Memetik portal CNBC Indonesia pada September lalu, harga gas LPG ditetapkan berbeza-beza mengikut wilayah. Semakin terpinggir wilayah itu, maka harga pun ikut melambung. 

Di Papua, harga gas LPG 12kg mencecah hampir RM80, Jakarta RM62, Kalimantan RM72. Ketika berita ini ditulis, rakan dari Krayan, Kalimantan Utara mengeluh harga tong gas LPG 14kg di sana mencecah RM200.

Media arus perdana negara republik itu turut mengakui, harga gas LPG di Malaysia adalah terendah dikalangan jiran tetangga selain Thailand. Portal Liputan6 menyebut, harga LPG di negara itu hanya sedikit rendah berbanding Vietnam, Singapura dan Filipina. 

Kita bertuah kerana kerajaan memberikan subsidi. Bukan itu sahaja, kita ada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sanggup ‘off road’ pergi ke kawasan pedalaman sejauh Bario dan Lusong Laku untuk memastikan penduduk menikmati subsidi dan harga yang sama seperti rakyat di bandar.

Semalam, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Sri Julaihi Narawi dalam sidang media berkata, Petroleum Sarawak Berhad (Petros) mengeluarkan sendiri gas LPG bagi memastikan ia kekal rendah untuk memenuhi keperluan rakyat Sarawak.

Katanya, Petros mengeluarkan sebanyak 700,000 silinder gas setiap bulan atau kira-kira 22,000 silinder gas dalam sehari.

Mulai 1 Disember, Petros Niaga Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Petros menjadi pengedar tunggal LPG bersubsidi 14kg di Sarawak dengan harga dikekalkan pada RM26.60.

Memang murah, sebab itu tong gas LPG dari Sarawak banyak diseludup ke negara jiran. Bayangkan implikasi yang kerajaan perlu tanggung jika harga keperluan ini diturunkan sehingga RM10 seperti yang dihujahkan pakar ekonomi tak bertauliah di media sosial.

Kita tidak sepatutnya menjadi Rohingya. Beri betis hendak peha.
Next Post Previous Post