Data ujian ART dianalisa, reka bentuk perlu diubah sedikit - Menteri Pengangkutan

KOTA SAMARAHAN -- Sistem keutamaan isyarat transit (TSP) bakal digunakan bagi memastikan kelancaran pergerakan Prototaip Transit Aliran Automasi (ART) apabila beroperasi nanti.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, keutamaan akan diberikan kepada ART apabila sampai di isyarat lalu lintas yang tidak akan mengganggu pergerakan kenderaan lain.

“Berdasarkan data yang telah dikumpul prototaip ART juga sudah bergerak sepanjang kira-kira 6,000 kilometer (km) semasa Proses Pembuktian Konsep (POC) melibatkan fasa pertama dan kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke tapak Latihan POC bagi ART di sini.

Menurutnya, maklum balas daripada mana-mana pihak yang telah menaiki prototaip ART sepanjang tempoh POC diperlukan bagi meningkatkan prestasi ART tersebut.

“Model ART yang digunakan akan dihantar ke kilang pembuatan ART untuk diubah suai dan dipertingkatkan berdasarkan maklum balas yang dikumpul kelak.

“Sarawak Metro akan mengumpulkan semua data dan maklumat selepas itu, data berkenaan akan disampaikan kepada kilang yang membuat ART.

“Hujung bulan ini, kesemua data dan maklum balas akan dikumpul untuk dihantar ke kilang dan kita akan minta reka bentuk ART ini untuk diubah suai sedikit mengikut kesuaian kawasan perjalanan ART,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan bahawa kementeriannya akan meminta kerjasama daripada Sarawak Metro untuk menjemput pelajar Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kota Samarahan untuk menaiki ART pada masa akan datang.

Teks dan foto: Jiwa Bakti
Next Post Previous Post