FLYsiswa ringankan beban penuntut IPT pulang kampung halaman, Fadillah

PETALING JAYA— Bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta Labuan kepada penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam atau FLYsiswa dapat mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia merupakan ihsan Kerajaan Perpaduan untuk menangani isu mobilisasi pelajar yang memerlukan tiket penerbangan pada harga yang berpatutan.
 
“Pelaksanaan inisiatif FLYsiswa Kerajaan Perpaduan menerusi Kementerian Pengangkutan ini merupakan manifestasi nilai-nilai Malaysia Madani merangkumi kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. 

“Usaha ini amat signifikan kepada Kerajaan Perpaduan yang sentiasa komited dan responsif untuk memastikan suara rakyat didengari terutama rintihan para pelajar univesiti awam, berkaitan kenaikan harga tambang perkhidmatan pengangkutan udara terutama yang melibatkan laluan di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya berucap melancarkan FLYsiswa di Auditorium HEP, Universiti Malaya di sini hari ini.

Katanya, bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar UA, Politeknik, Kolej Komuniti, Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan juga adalah contoh inisiatif madani yang bersifat touchpoint dan menyentuh hati nurani rakyat.

Untuk rekod, inisiatif FLYsiswa dipersetujui Jemaah Menteri pada 12 Julai dan mula dilaksanakan pada 15 Ogos melalui kaedah pemberian baucar digital bernilal RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan bagi laluan-laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Pelaksanaan FLYsiswa mendapat kerjasama syarikat-syarikat penerbangan utama negara seperti Malaysia Airlines Berhad, Air Asia dan Batik Air. Satu portal khas diwujudkan untuk memudahcara penempahan tiket menggunakan baucar FLYsiswa secara atas talian yang boleh diakses di laman sesawang https://subsidiudara.mot.gov.my.

Penebusan baucar bagi inisiatif FLYsiswa ini perlu dibuat selewat-lewatnya pada 31 Disember 2023 tetapi tarikh perjalanan boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk pada tahun hadapan.

Dalam pada itu, Fadillah berkata, kerajaan Negeri Sarawak dibawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga telah memperkenalkan Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (iGPS) sejak 2019.

Katanya, menerusi iGPS Kerajaan Sarawak memberikan subsidi tambang penerbangan RM300, dua kali setahun untuk anak Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan

“Antara Januari hingga November 2023 ini sahaja seramai 21,819 pelajar Sarawak menikmati bantuan berkenaan melibatkan subsidi sebanyak RM6.5 juta.

“Jumlah ini meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 14,699 pelajar (RM4.4 juta) pada 2022 ; 4,775 pelajar (RM1.4 juta pada 2021) dan 13,167 pelajar (RM3.9 juta pada 2019 hingga 2020),” katanya.

Setakat ini seramai 54,460 anak Sarawak sudah dibantu menerusi i-GPS dengan bantuan berjumlah RM16.3 juta.
Next Post Previous Post