17 kes curi kabel TM didalangi warga tempatan selesai

KUCHING— Kecekapan pasukan polis Kuching berjaya menyelesaikan sebanyak 17 daripada 21 kes kecurian kabel Telekom Malaysia (TM) Berhad di sini tahun lepas membabitkan kerugian RM280,000.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah, berkata ini berikutan penahanan 36 suspek membabitkan warga tempatan berusia lingkungan 19 hingga 36 tahun yang dipercayai mendalangi kegiatan itu.

“Dengan penahanan suspek tersebut, 17 sudah selesai manakala empat lagi masih dalam siasatan.

“Kesemua suspek didakwa di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri dan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan atas kesalahan perbuatan khianat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Jalinan Mesra TM Berhad bersama IPD Kuching di sini, pada Jumaat.

Ahsmon menambah, dalam pada itu, seramai 24 daripada 36 suspek yang ditangkap adalah positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan berulang,.

Katanya, suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah harta benda termasuk khianat, memotong dan menjual kabel TM.

Selain itu katanya, polis turut menyerbu 28 premis barang lusuh di sekitar Kuching dengan tiga kedai barang lusuh berkenaan didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan harta curi.
Next Post Previous Post