Gereja ST. Theresa Serian nafi carolling kutip dana

SERIAN — Gereja Katolik St. Theresa, Serian hari ini menafikan pihaknya menghantar wakil untuk carolling sambil mengutip dana di tempat awam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh gereja itu, mereka tidak pernah menghantar mana-mana individu ataupun sekumpulan individu untuk mengutip dana di tempat awam seperti yang tular berlaku di Serian. 

“Kami menerima laporan ada individu yang mendakwa mereka dari kumpulan koir gereja menganjurkan carolling Krismas sambil mengumpul dana.

“Mereka bukanlah mewakili gereja St. Theresa Serian mahupun belia di paroki ini.  Mohon pihak berwajib ambil perhatian kerana perkara sebegini berlaku hampir setiap tahun,” kata Gereja St. Theresa Serian menerusi Facebooknya hari ini.

Terdahulu tular gambar individu berkenaan sedang carolling lagu Krismas sambil mengumpul dana daripada pengunjung di kedai makan sekitar Serian.

Sementara itu di ruangan komen, netizen mencadangkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan lanjut terhadap aduan tersebut.

“Tindakan ini bagi untuk mengelakkan individu tidak bertanggungjawab menggunakan nama gereja untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Menurut mereka, ini bukan kejadian yang pertama memandangkan sebelum ini ada pihak menggunakan nama gereja untuk keuntungan atas angin.
Next Post Previous Post