Buaya jantan 1.2 tan ditembak mati

LAHAD DATU— Tujuh das tembakan terpaksa dilepaskan ke arah seekor buaya jantan di Kampung Desa Bajau semalam, selepas reptilia itu enggan memberikan ‘kerjasama’ untuk ditangkap.

 Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, operasi menangkap buaya itu mengambil masa hampir lima jam dengan bantuan Jabatan Hidupan Liar (JHL). 

“Sebanyak tiga kali percubaan menangkap buaya itu menggunakan kaedah jerutan namun tidak berjaya disebabkan reptilia itu terlalu besar berukuran lilit badan 6 kaki dan berat dianggarkan 1.2 tan. 

“Operasi menangkap buaya itu turut menyebabkan jambatan roboh,” katanya dalam di Facebook APM Lahad Datu semalam. 

Terdahulu, APM menerima laporan daripada penduduk pada jam 4.38 petang dan operasi dimulakan pada jam 5.16 petang. 

“APM dan JHL berjaya mengamankan dan menangani reptilia tersebut sekitar jam 8.50 malam,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, mereka terpaksa melepaskan tujuh das tembakan bagi menangkap buaya tersebut. 

"Bangkai buaya itu kemudian ditarik oleh anggota APM dan penduduk kampung serta dibawa ke perumahan Hidupan Liar untuk dilupuskan," jelasnya dipetik Sinar Harian.

Gambar Kredit APM Lahad Datu
Next Post Previous Post