Projek ‘sakit tenat’ Jambatan Batang Rambungan ditender semula

 
KUCHING— Kontraktor asal projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan telah ditamatkan perkhidmatan bagi
membolehkan kontraktor penyelamat menyiapkan projek terbabit.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Ir. Aidel Lariwoo berkata, projek itu yang dikategorikan antara projek sakit di negeri ini, kini dalam proses tender semula.
 
“Kerajaan Sarawak memandang serius usaha untuk mempercepatkan pembinaan projek tersebut kerana jambatan itu merupakan jalan penghubung dari Rambungan, Sempadi dan Lundu bagi melengkapkan laluan jalan pesisir di negeri ini,” katanya selepas Program Taklimat Lawatan Ke Projek Menaik Taraf Jalan Kebun Kampung Beradek-Semilang di sini, lapor Jiwa Bakti 
 
Beliau ditemani Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
 
Menurut Aidel, kontraktor asal projek itu telah ditamatkan perkhidmatannya selepas gagal
menyiapkan projek mengikut skala jadual yang ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR). 
 
“Justeru, kontrak mereka ditamatkan dan projek itu kini dalam peringkat untuk ditender semula,’’ katanya mengulas mengenai perkembangan terkini projek Jambatan Rambungan, Lundu.
 
Menurutnya, jambatan itu adalah sebahagian daripada jalan pesisir dan hanya jambatan berkenaan sahaja yang belum dapat disiapkan manakala lapan jambatan yang kecil-kecil di sini dan sebelah sempadan Lundu telah siap.

Jambatan berharga RM98.5 juta itu sepanjang 560 meter, sebelum ini telah dianugerahkan kepada kontraktor tempatan dengan kerjasama syarikat dari China.
 
Bagaimanapun, projek yang bermula 17 Disember 2019 dan dijadual siap 16 Disember 2022 mengalami kelewatan disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan tenaga kerja dan kaedah pelaksanaan projek.
Next Post Previous Post