Petros kini ada kuasa bekal, edar gas di Sarawak

Julaihi Narawi menunjukkan dokumen Rang Undang-Undang (RUU) Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 yang dibentangkan untuk bacaan kedua di Persidangan DUN hari ini.

KUCHING—Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pengagihan Gas (Pindaan) 2023 yang antara lain bertujuan memberi kuasa kepada Sarawak untuk melantik agregator yang akan menguruskan hal berkaitan pengedaran gas di negeri ini.

Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar memaklumkan kelulusan tersebut setelah memperoleh undi majoriti dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Selasa.

Terdahulu ketika membentangkan RUU tersebut bagi bacaan kali kedua, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, pelantikan agregator gas ini akan menjamin ketersediaan bekalan gas untuk pemain industri dan pengguna tempatan.

Selain itu katanya, agregator yang dilantik juga akan mengukuhkan, menambah baik dan mengembangkan rantaian dan sistem pengedaran gas sedia ada.

“Pindaan ini memberi kuasa kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk melantik agregator gas.

“Adalah dijangkakan bahawa Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), syarikat milik penuh kerajaan Sarawak yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan dalam pengedaran gas, akan dilantik sebagai agregator gas apabila RUU ini diluluskan dan berkuat kuasa,” katanya, memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)>

Dato Sri Julaihi menambah, menerusi RUU sama, kementeriannya akan memastikan agar setiap pihak yang menjalankan aktiviti yang disenaraikan di bawah Seksyen 7 Ordinan Pengagihan Gas, 2016, mesti mendapatkan lesen daripada Pengarah Pengedaran Gas.

“Semua pihak yang diberikan lesen di bawah Seksyen 7 (Ordinan Pengagihan Gas, 2016) untuk pengedaran, pembekalan dan penjualan gas di Sarawak hendaklah menjual dan menghantar gas mereka kepada PETROS bagi membolehkan PETROS mendapatkan gas yang mencukupi untuk pengedaran dan bekalan kepada pengguna di Sarawak, termasuk loji Gas Asli Cecair (LNG) pada harga yang berpatutan,” katanya lagi.

Sementara itu dalam satu sidang media, Dato Sri Julaihi memberitahu, aktiviti pengurusan gas oleh agregator yang dilantik kelak juga boleh dimanfaatkan oleh pihak-pihak yang ingin melabur dalam industri hiliran negeri ini pada masa depan.  

“Sasaran kami adalah sekurang-kurangnya 30 peratus (bekalan) gas dimanfaatkan untuk kegunaan domestik di Sarawak.

“Sebab gas banyak terdapat di wilayah Sarawak, jadi wajarlah kita mempunyai akses kepada gas yang mencukupi pada harga yang berpatutan dan mampu memenuhi permintaan pengguna domestik, pertumbuhan industri dan untuk semua pelabur yang bersedia untuk (melabur dalam industri) hiliran untuk industri gas,” tegasnya.
Next Post Previous Post