Parking sebarangan, 50,010 saman dikeluarkan Trafik Sarawak tahun ini

KUCHING-- Parkir kereta sebarangan antara kesalahan tertinggi direkodkan Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak iaitu 50,010 saman dikeluarkan bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, sepanjang tempoh itu JSPT Kontinjen Sarawak telah mengeluarkan sebanyak (128,053) saman kepada pesalah lalu lintas atas pelbagai kesalahan trafik yang dilakukan. 

"Jumlah saman ini menurun sebanyak 59,971 saman atau 31.9 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2022 iaitu sebanyak 188,024 saman yang telah dikeluarkan.

"Antara kesalahan yang paling banyak dikeluarkan saman oleh PDRM pada tahun 2023 adalah seperti kesalahan halangan/parking iaitu sebanyak 50,010 saman atau 39.1 peratus," katanya pada sidang media hari ini.

Selain parking, Azman berkata kesalahan berkaitan lesen memandu juga direkodkan iaitu 16,795 saman atau 13.1 peratus.

"Kesalahan berkaitan nombor pendaftaran (plate) iaitu sebanyak 13,672 saman atau 10.7 peratus," ujarnya.

Mengenai Op Mabuk, Azman berkata sepanjang Januari hingga Oktober 2023 sejumlah 42 operasi telah dijalankan dan sebanyak 74 tangkapan telah dibuat ke atas pengguna kenderaan yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu kenderaan motor dengan
kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan. 

Bagi Op Samseng Jalanan di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987 iaitu memandu/menunggang secara melulu dan membahayakan, katanya sebanyak 71 operasi telah dijalankan dan sebanyak 102 tangkapan telah
dilakukan dalam tempoh sama.

"Sepanjang tempoh sama, JSPT Kontinjen Sarawak telah menjalankan sebanyak 669 operasi.

"Jumlah pengeluaran saman hasil dari operasi tersebut juga meningkat sebanyak 704 saman atau 7.9 peratus iaitu sebanyak 9,662 saman telah dikeluarkan pada 2023 berbanding 8,958 saman telah dikeluarkan pada 2022.

"Jumlah kemalangan jalan raya keseluruhan bagi tempoh kajian iaitu Januari hinga Oktober 2023 telah menunjukkan peningkatan sebanyak 1,496 kes atau 9.2 peratus berbanding 2022 iaitu daripada (16,203) kes pada 2022 kepada 17,699 kes kemalangan pada 2023," ujarnya.

Sementara mengikut pecahan jenis kemalangan pula, Azman berkata kemalangan maut telah meningkat sebanyak 21 kes iaitu daripada 280 kes pada 2022 kepada 301 kes pada 2023.
Next Post Previous Post