Mancha tekad bersihkan rasuah, tingkat imej PDRM Sarawak

Majlis Serah Terima Tugas, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Azman (kiri) dan Mancha (kanan) disaksikan Datuk Seri Ramli Mohamed.

KUCHING— Pesuruhjaya Polis Sarawak yang baharu, Datuk Mancha Ata berikrar mahu mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi
Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak.

Mancha, yang menggantikan Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri yang dilantik menjadi Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, menetapkan tiga fokus utama agar (PDRM) Kontinjen Sarawak sentiasa berada di landasan yang betul.

“Pertama memperkasakan integriti di setiap peringkat dengan membersihkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa untuk meningkatkan
semula imej PDRM.

“Fokus kedua adalah memartabatkan mutu penyampaian perkhidmatan yang berkesan dan terbaik berpaksikan motto ‘kesetiaan, fokus dan
komited’ bagi meningkatkan rasa keyakinan masyarakat kepada mutu perkhidmatan PDRM Kontinjen Sarawak.

“Selain itu komited untuk mengukuhkan jalinan kerjasama dengan kerajaan negeri dan mengeratkan lagi hubungan PDRM dengan masyarakat setempat demi untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di Sarawak,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Ibu PDRM Kontinjen Sarawak hari ini.

Sementara itu,pelantikan Mancha sebagai Pesuruhjaya Polis Sarawak ke-28 menjadikan beliau anak Dayak pertama dari keturunan Iban yang memegang jawatan itu.

Beliau yang berusia 58 dan dilahirkan di Asajaya, Kuching merupakan anak jati Sarawak yang keempat dilantik memegang jawatan tersebut.

Mancha berkelulusan Akademik Dalam Diploma Siswazah Sains Kepolisan Dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan mula berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia pada 14 September 1986 dan memulakan tugas pada 1987 dalam Pasukan Polis Hutan (PPH). 

Kemudian beliau mengikuti Kursus Asas Komando 69 di Kedah pada tahun 1988.

Pencapaian penting dalam dalam tempoh lebih 30 tahun bertugas antaranya, Mancha pernah ketika berpangkat Superintenden dilantik sebagai Pegawai Turus Risikan / Gerakan 69 Komander Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (KDNKA) di Ulu Kinta, Perak pada 2012; ketika berpangkat ACP menjawat Jawatan Sebagai Timbalan Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) KDNKA di Kinarut Sabah (2016).

Ketika berpangkat ACP, beliau menjawat jawatan sebagai Timbalan Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) KDNKA di Kinarut Sabah pada tahun 2016 kemudian dilantik sebagai Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) KDNKA di Kinarut Sabah pada tahun 2019 dengan berpangkat SAC.

Beliau kemudian menjawat jawatan Komander Briged Sabah Pasukan Gerakan Am (PGA) KDNKA di Kinarut Sabah pada tahun 2020.

Mancha dinaikkan ke pangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) pada 11 Jun 2021 dan dilantik sebagai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Antara kursus dan latihan yang beliau sertai ialah Pasukan Pengurusan Krisis di Amerika Syarikat pada 1998 dan Kursus pasukan Bertindak Krisis di Baton Rouge, Louisiana, Amerika Syarikat pada 1988.

Bagi menghargai sumbangan dan kecemerlangan, Mancha dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran Datuk sempena Ulang Tahun Ke 85 Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Taib Mahmud.

Mancha turut dianugerahkan pingat kebesaran Jasa Perkasa Persekutuan (J.P.P) pada 2014 atas keberanian dalam insiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah (Op Daulat) pada 2013 atas kegagahan dan keberanian luar biasa di medan peperangan.

Sementara itu majlis serah terima tugas hari ini turut disaksikan oleh Mohd Azman kepada Mancha turut dihadiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf.
Next Post Previous Post