Tidak berhenti semasa buat pusingan-P, warga emas maut motosikal dilanggar Toyota Unser

LUNDU-- Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan jenis Toyota Unser di kawasan Pusingan-P Serayan Hilir, Kilometer 13 Jalan Lundu-Sematan di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata dalam kemalangan sekitar jam 10.55 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Bunad Jawi, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal di tempat kejadian, sebuah motosikal jenis Honda Ex 5 yang ditunggang mangsa datang dari arah Sematan menuju ke arah Kampung Serayan Hilir dipercayai telah keluar dari P-Turn (Serayan Hilir) tanpa berhenti di simpang terlebih dahulu.

"Pada masa Sama sebuah kereta Toyota Unser yang dipandu seorang lelaki berusia 27 tahun datang dari arah Lundu ke Sematan, memandu dijalan lurus telah melanggar motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, akibat kemalangan tersebut penunggang disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan paramedik.

Sementara itu, katanyan pemandu Toyota Unser tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Tegasnya, kes masih dalam siasatan lanjut.

"Kes ini disiasat di bawah seksyen Sek (41) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Next Post Previous Post