Warga emas 83 tahun antara ditangkap judi sabung ayam

Gambar IPD Julau

JULAU-- Tujuh daripada sekumpulan kaki sabung, termasuk seorang warga emas berusia 83 tahun ditahan dalam serbuan di ladang kelapa sawit, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Julau Deputi Superintendan (DSP) Andam Sulin berkata sebuan menerusi ‘Operasi (Op) Dadu Khas’ itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti perjudian sabung ayam.

"Mereka ditahan semasa serbuan oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Julau pada 3 petang.

"Suspek warga emas yang berada di gelanggang sabung ayam itu sekadar tercengang kerana tidak sempat melarikan diri manakala yang lain meloloskan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya dalam kenyataan.

Katanya, polis kemudian berjaya menahan tujuh individu berusia 29 hingga 83 tahun.

"Polis turut merampas tiga ekor ayam jantan mati, alat penimbang, papan bertulis jadual pertaruhan, sebilah taji dan sejumlah wang.

“Tangkapan dan rampasan akan disiasat mengikut Seksyen 73(1)(g) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999,” jelasnya.

Sabit kesalahan, kesemua suspek boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Next Post Previous Post