Cukai minyak dan gas Sarawak berjumlah RM14.9 bilion sejak 2019

BETONG— Sarawak mencatat kutipan Cukai Jualan Negeri (SST) berjumlah RM14.9 bilion hasil jualan produk petroleum sejak ia dilaksanakan pada 2019 hingga kini.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan SST ini merupakan kejayaan besar kerajaan negeri dalam tempoh 60 tahun membangunkan Sarawak.

Katanya, ia menunjukkan usaha kerajaan di bawah pimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah membuahkan hasil yang bermanfaat kepada pembangunan negeri.

“Tuntutan ini bukan perkara senang, beberapa tahun lalu Sarawak berjuang untuk menuntut cukai produk petroleum berkenaan daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

“Petronas dan Kerajaan Persekutuan yang ketika itu di bawah pentadbiran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir tidak bersetuju dengan tuntutan itu.

“Namun Premier dengan berani dan tegas telah membawa tuntutan itu ke mahkamah sehingga kita menang dan diberikan hak mengenakan cukai.

“Maka bermula 2019, Sarawak berhak mengutip SST untuk petroleum dan gas bagi menambah pendapatan. Untuk pengetahun, sehingga 6 Oktober tadi Sarawak telah mengutip RM14.9 bilion,” katanya berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) 2023 Zon Betong, pada Ahad.

Untuk rekod, pada Januari 2019, ke­rajaan Sarawak menuntut SST se­banyak lima peratus atas pro­duk petroleum Petronas di negeri itu di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998 namun ditolak Petronas atas alasan tuntutan tersebut tidak mematuhi perlembagaan.

Perkara tersebut dibawa ke mahkamah dan Mahkamah Tinggi Kuching pada 13 Mac 2020 memutuskan bahawa Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum yang diambil dari negeri tersebut.
 
Uggah yang juga Timbalan Presiden PBB berkata, Sarawak dalam tempoh 60 tahun juga berjaya menjadi negeri yang makmur, aman dan maju di Malaysia.

“Pendapatan negeri ini akan diagihkan kepada rakyat dalam bentuk bantuan dan projek-projek pembangunan seperti jalan raya dan infrastruktur.

“Sebagai contoh, kadar kemiskinan Sarawak telah menurun daripada 56.6 peratus pada 1976 kepada 10 peratus pada 2022. 

“Malah Bank Dunia juga telah mengiktiraf Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi,” katanya.

Uggah berkata, kejayaan itu dipacu program pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang diterajui oleh PBB.
Next Post Previous Post