Kes pukul di Jalan Stephen Yong, tiga ditangkap

KUCHING-- Tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam kes pukul seorang lelaki di hadapan sebuah premis di Jalan Datuk Stephen Yong di sini yang menjadi tular di media sosial baru-baru ini akhirnya berjaya diberkas.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 20-an hingga 50-an itu ditangkap dalam dua siri tangkapan oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, hari ini.

"Kesemua suspek telah direman di Mahkamah Kuching pada hari ini 
dan perintah reman selama 4 hari telah diperolehi. 

"Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, atas kesalahan mencederakan dengan objek (senjata) dan juga Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman pemenjaraan sehingga 3 tahun atau denda atau kedua duanya sekali," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya siasatan kes ini adalah susulan satu video tular yang mana mangsa seorang lelaki telah dipukul dengan menggunakan objek seperti kayu besbol dan paip (pvc) di bahagian badan serta turut diancam dengan selaras senapang patah.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau 
tafsiran sendiri berkenaan dengan kes tersebut tanpa mendapatkan maklumat atau kenyataan sah daripada pihak polis kerana ianya boleh mengganggu siasatan yang sedang dijalankan," ujarnya.
Next Post Previous Post