Sarawak usul tambah 12 kerusi Parlimen

BETONG— Sarawak akan mengemukakan permohonan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menambah 12 lagi kerusi Parlimen baharu yang kini sebanyak 31 kerusi.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, agihan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak penting supaya Semenanjung tidak dapat meminda Perlembagaan yang mungkin melenyapkan atau menghilangkan hak dua wilayah berkenaan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, 35 peratus daripada 159 kerusi parlimen di Dewan Rakyat ketika itu diperuntukkan kepada Singapura, Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang media selepas Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong di sini, hari ini.

Ketika ini, daripada 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, sebanyak 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi di negeri Borneo dengan masing-masing 25 kerusi di Sabah dan 31 kerusi di Sarawak.

Malaysia dijangka mempunyai 244 kerusi di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) jika kerajaan meluluskan peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63.

Sebelum ini, Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 membincangkan tuntutan bagi mengembalikan 35 peratus kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Presiden PBB itu berkata, satu jawatankuasa dalaman akan ditubuhkan bagi mengkaji cadangan untuk menambah sekurang-kurangnya 12 kerusi Parlimen baharu.

“Jawatankuasa ini akan mengemukakan permohonan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita akan mengkaji bukan sahaja untuk kawasan Betong malah untuk seluruh Sarawak. Kita memohon ia diluluskan tersebut namun keputusannya ditentukan oleh SPR,” katanya.

Konvensyen khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong hari ini menggesa pertambahan bilangan kerusi Parlimen di Sarawak sekurang-kurangnya 12 dengan tiga daripadanya di Betong.
Next Post Previous Post