Chong bangkitkan kes kematian pelajar wanita di Kuching di Parlimen

KUALA LUMPUR-- Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghantar pasukan khas dari Bukit Aman untuk menyiasat lebih terperinci kes kematian seorang pelajar wanita berusia 22 tahun di Kuching pada 15 Oktober lalu, dipercayai akibat penyalahgunaan dadah.

Pengerusi DAP Sarawak itu berkata, ahli keluarga terkejut apabila mendapati polis begitu pantas mengklasifikasikan kematian itu sebagai "Mati Mengejut (SDR)".

"Menurut keluarga, ujian pantas dadah ke atas air kencing mangsa mengesan tiga dadah, termasuk Methamphetamine (biasa dipanggil "ais"), MDMA (biasa dipanggil "ekstasi") dan cotinine, 2 daripadanya, Methamphetamine dan MDMA adalah dadah terlarang di dalam negara kita.

"Ada bersama saya salinan laporan ujian air kencing tersebut dan saya percaya salinan laporan ujian air kencing itu juga telah dimajukan kepada pihak polis.

"Tambahan pula, demi kepentingan mencari kebenaran di sebalik kematian mangsa, oleh itu saya menggesa pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh terhadap perkara itu. 


"Memandangkan pasukan penyiasat di Kuching telah menyimpulkannya secara ringkas sebagai "Laporan Kematian Mengejut", mungkin adalah lebih sesuai untuk Ibu Pejabat PDRM dari Bukit Aman menghantar satu lagi pasukan penyiasat ke Kuching untuk menjalankan siasatan yang lebih mendalam," katanya ketika sesi perbahasan di Dewan Parlimen hari ini.

Tambah Chong yang juga ADUN Padungan, penyalahgunaan dadah semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini di Kuching khasnya dan Sarawak amnya. 

"Kami, rakyat biasa, hanya boleh bergantung kepada polis untuk melindungi kami daripada penyalahgunaan dadah ini, dan untuk melindungi anak-anak kami daripada terjebak penyalahgunaan dadah ini.

"Oleh itu, kita berharap tragedi sebegini tidak berulang lagi dan untuk itu saya menggesa agar PDRM mempertingkatkan usaha memerangi penyalahgunaan dadah, bukan sahaja di Kuching malah seluruh Sarawak," tegasnya.
Next Post Previous Post