Tiada beras tempatan di Sarawak, apa terjadi projek "Jelapang Padi" Batang Lupar?-- Violet Yong

KUCHING-- "Apa yang berlaku dengan projek 'Jelapang Padi' di Batang Lupar?," tanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan Sarawak memperjelaskan secara terperinci berhubung projek berkenaan yang telah dilaksanakan pada 10 tahun lalu di kawasan tersebut.

"Projek berkenaan dilaksanakan bagi tujuan mengurangkan kebergantugan negara dan negeri terhadap beras import.

“Memandangkan Sarawak kini banyak mengimport beras, saya rasa orang ramai perlu tahu apa yang berlaku kepada projek ini," katanya dipetik menerusi laporan The Borneo Post hari ini.

Pada 2013, Violet berkata, terdapat harapan tinggi untuk projek itu yang dikatakan mampu menyumbang kepada pengeluaran bekalan beras pertama di Sarawak.

"Tetapi saya tidak mendengar apa-apa mengenainya selepas pengumumannya,” katanya lagi.

Tegasnya, mungkin sudah tiba masanya kerajaan Sarawak memberitahu rakyat apa yang telah berlaku kepada projek itu supaya orang ramai dapat memahami mengapa harga beras di Sarawak berbeza dengan Semenanjung Malaysia.

Pada 2013, Timbalan Ketua Menteri ketika itu Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dilaporkan berkata Projek Jelapang Padi seluas 5,100 hektar di Batang Lupar, Sri Aman, apabila siap, akan menyumbang kepada pengeluaran bekalan beras pertama di Sarawak.

Beliau berkata pada masa itu projek tersebut yang pertama seumpamanya di Sarawak melibatkan peserta dari Stumbin, Tanjung Bijat, Entulang, Lingga dan Banting.

Sementara itu, Yong berkata atas beberapa faktor termasuk logistik, rakyat Sarawak tidak akan dapat membeli beras putih tempatan pada harga subsidi RM2.60 sekilogram, atau RM26 setiap beg 10kg, tidak seperti mereka yang dinikmati rakyat di Semenanjung.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom mewakili kerajaan negeri berbincang dengan kerajaan persekutuan mengenai penyeragaman harga.

“Saya berpendapat kerajaan Sarawak dan persekutuan harus berbincang sesama sendiri apabila membabitkan isu harga beras di negeri ini. Mungkin penyelesaian untuk rakyat Sarawak boleh didapati melalui pendekatan sedemikian.

“Semua rakyat Malaysia harus menikmati harga (beras) yang sama,” katanya.
Next Post Previous Post