Luahan rakyat Sabah, Sarawak kepada Agong diteliti

KUCHING— Setiap keluh kesah rakyat yang diluahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika Kembara Kenali Borneo akan diteliti dan diselesaikan dengan sebaiknya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan itu berkata, beliau akan mengarahkan seluruh jentera pentadbiran Kerajaan Perpaduan menangani setiap aduan yang rakyat kemukakan sepanjang kembara tersebut.

"Khamis lalu, saya menghadap Yang di-Pertuan Agong dan baginda yang masih sangat terkesan, berbicara dengan penuh perasaan sehingga berlinang air mata kerana terpegun dan terkesan dengan kasih rakyat Sabah dan Sarawak yang ditunjukkan kepada baginda berdua.

"Namun, sebagai Perdana Menteri, saya terbeban (menerima tugas) dengan kembara itu, kerana baginda memberikan semua surat yang diserahkan oleh rakyat kepada saya,”katanya berucap dalam majlis sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan akan menangani aduan itu sebaiknya selain bekerjasama dengan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak untuk menangani perkara yang sukar atau tertinggal sebelum ini.

"Saya akan memikul beban dengan memberi jaminan saya akan mengarahkan seluruh jentera meneliti setiap surat itu dan kita usaha menyelesaikannya sebaik mungkin, mana yang tertinggal atau yang sukar saya akan memanjangkan kepada Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak untuk mereka bersama tangani," katanya.

Rombongan Al-Sultan Abdullah memulakan perjalanan kembara itu di Tawau, Sabah pada 3 September lalu sebelum mengakhiri penjelajahan selama 11 hari di Telok Melano di selatan Sarawak pada 13 September.

Dalam ucapan yang sama Anwar berkata, Sarawak berpotensi menjadi hab tapak pembangunan industri hijau, hidrogen dan beberapa aspek hiliran yang terhebat di rantau ASEAN.

Katanya, Sarawak berjaya melangkah jauh daripada imejnya sewaktu Malaysia ditubuhkan 60 tahun dahulu untuk menjadi negeri paling progresif di negara ini dan berpotensi menjadi lebih maju lagi.

Menurut Anwar, Sarawak bukan lagi Sarawak 1963, hari ini Sarawak merupakan negeri paling depan di Malaysia dalam teknologi tenaga diperbaharui, hidrogren dan aktiviti hiliran yang lain.

Menurutnya, kesungguhan yang ditunjukkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memajukan negeri ini menerusi beberapa inisiatif baharu yang ternyata berkesan, menyebabkan beliau telah diminta memberi pandangan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri di Wisma Bapa Malaysia, di sini pada petang Sabtu.

“Sebelum Mesyuarat Jemaah Menteri tadi, bayangkan kalau dulu kita datang bagi kuliah kepada pemimpin Sarawak, hari ini saya minta Premier Sarawak beri pandangan dan kuliah kepada Menteri Persekutuan.

“Saya sebut ini tanpa bermaksud untuk memberi pujian berlebihan kepada sahabat saya Abang Johari, tetapi kenyataannya, belum pernah ada mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan yang mana pemimpin negeri diminta memberi pandangan tentang kemajuan bidang baharu diterokai dengan jayanya berdasarkan pelaksanaan di Sarawak,” jelasnya.

Menyentuh mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), beliau memberi jaminan akan melaksanakan segala perjanjian yang telah dimeterai.

Tegasnya, beberapa perkara lain yang termaktub bukan untuk dirunding, tetapi untuk dilaksanakan.

“Tanggungjawab saya adalah melaksanakan janji dan perjanjian yang telah dimeterai oleh pemimpin dan pejuang negara semasa pembentukan Malaysia untuk diselesaikan.

“Alhamdulillah dengan bantuan rakan-rakan, hampir semua dapat dilaksanakan. Ada beberapa perkara lain yang saya turut memberi jaminan bukan untuk dirunding, tetapi untuk dilaksana. Saya tidak mahu Sabah atau Sarawak ada perasaan bahawa orang Semananjung itu meminggirkan.

“Kami generasi baharu, kami generasi yang mahu melaksana dan mahu mengotakan apa yang dikatakan,”jelasnya lanjut.
Next Post Previous Post