Sarawak tuan rumah Kongres Air Sedunia 2028

Acara itu dijangka menarik 10,000 peserta dari 80 negara- Premier Sarawak, Abang Johari

KUCHING— Sarawak melakar sejarah muncul sebagai negeri pertama di Malaysia dan Asean menjadi tuan rumah Kongres dan Pameran Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa (IWA) pada 2028, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak berkata, paling manis Sarawak berjaya mengetepikan bandar Sao Paulo, Brazil selepas membida acara itu di Bordeaux, Perancis.

“Kejayaan kita menjadi tuan rumah ini satu berita yang amat menggembirakan.

“Ia satu lagi pencapaian penting terutama ketika kita meraikan sambutan ulang tahun ke-60 Hari Malaysia dan sudah tentu membanggakan rakyat Malaysia,” katanya berucap sempena Sambutan Hari Malaysia 2023 Peringkat Kebangsaan di Stadium Perpaduan Kuching, malam tadi.

Abang Johari berkata, kongres tersebut akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan dijangka menarik 10,000 peserta dari 80 negara.

Katanya, acara global ini akan menjana ekonomi selain meningkatkan kerjasama negara Asean dalam mengembangkan industri air.

“Selain itu meletakkan Sarawak di peta dunia sebagai hab dalam industri air. Kita akan dikenali oleh dunia antarabangsa,” kata Abang Johari.
Next Post Previous Post