Semangat persaudaraan pelbagai kaum di Malaysia harus dipelihara-- Fadillah

KUCHING-- Tautkan kembali ikatan persaudaraan dan keakraban kaum yang pelbagai di Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia ini, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Justeru Menteri Perladangan dan Komoditi itu meminta untuk menghentikan sentimen 3R - Raja, agama, dan kaum (Royalty, religion, and race) yang hanya menjadi ancaman kepada perpaduan negara. 

"Bersempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September setiap tahun, marilah kita bersama-sama menzahirkan penghayatan dan meraikan penubuhan Persekutuan Malaysia dengan penuh rasa bangga dan berjiwa bangsa. 

"Atas semangat ini, Hari Malaysia mampu menguatkan integrasi nasional agar kita sedar erti Merdeka yang sebenar, iaitu bukan sekadar Tanah Melayu tetapi juga Sabah dan Sarawak. 

"Ayuh semua kita kenangkan kembali jasa dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan tokoh-tokoh Sabah dan Sarawak yang telah menjayakan pembentukan Malaysia," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Tambah Fadillah, dengan tema "Segulai Sejalai”, ia membawa maksud “berjalan seiringan” yang perlu dizahirkan dengan semua rakyat mengekalkan keharmonian, memastikan negara selamat, serta menjamin kestabilan. 

Tegasnya, kerjasama dan perpaduan perlu dibina bersama oleh semua kaum tanpa rasa curiga dan iri hati kerana perjalanan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran tidak boleh dilakukan secara bersendirian.

"Hargailah apa yang kita miliki sekarang melalui semangat kebersamaan kerana kukuh dan majunya negara ini adalah hasil perjuangan bersama," katanya.

Pada masa sama beliau memberitahu Hari Malaysia harus menjadi medan manfaat untuk mengintegrasikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung ke arah agenda pembangunan yang lebih berdaya maju, demi kelangsungan negara bangsa Malaysia yang tercinta.

"Marilah kita semua menghayati makna Hari Malaysia supaya generasi akan datang dapat memiliki Malaysia yang lebih baik.

"Segulai Sejalai kita majukan Negara Malaysia Nan Tercinta. Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan. Selamat Menyambut Hari Malaysia 2023," ujarnya.
Next Post Previous Post