Kes libas di Matang, lelaki dipenjara 7 tahun

KUCHING-- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas seorang pemuda yang didapati bersalah atas kesalahan cubaan membunuh seorang lelaki dalam insiden libas di sebuah kedai di Matang bulan lepas.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Musli Abdul Hamid selepas tertuduh, Mohammad Aiman Yusri, 20, mengaku bersalah atas satu pertuduhan cubaan membunuh menggunakan senjata tajam yang dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, dia bersama seorang rakannya didakwa telah melakukan percubaan bunuh menggunakan senjata tajam terhadap mangsa berusia 36 tahun di hadapan sebuah cafe di Jalan Matang, kira-kira jam 2.19 pagi pada 21 Ogos lalu.

Berikutan itu, kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Mengikut fakta kes, pada 21 Ogos lalu, sekitar jam 2.19 pagi, polis menerima satu panggilan daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki dalam keadaan cedera parah telah datang ke rumahnya memohon bantuan.

Menurut keterangan pengadu, dia kemudian membawa mangsa yang dipercayai dipukul, ditikam dan dicederakan menggunakan objek tajam ke hospital untuk rawatan lanjut untuk menyelamatkan mangsa sebelum meneruskan laporan polis.

Semasa di hospital, mangsa didapati mengalami kecederaan di bahagian pinggang kiri, betis depan kanan, tulang retak, luka belakang bahu kiri, luka bawah bahu kiri dan kanan serta luka bahagian pinggang.

Bagaimanapun, tertuduh dan rakannya berjaya diberkas polis semasa Ops Cantas pada hari berlainan iaitu 23 Ogos dan 29 Ogos lalu.

Malah, tertuduh mempunyai tiga rekod lampau melibatkan penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, rakan tertuduh Mohd Khaizorie Wasli, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang sama yang dikenakan terhadapnya.

Susulan itu, Musli memutuskan Mohd Khaizorie dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 beserta dua penjamin tempatan.

Pada masa sama, beliau menetapkan tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes pada 9 Oktober depan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Iezzah Iburdanisha Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, video mengenai pergaduhan di sebuah kedai di Matang menjadi tular di media sosial yang memaparkan mangsa diserang lima orang lelaki bersenjatakan parang dan kayu hoki.

Difahamkan punca kejadian kerana salah seorang suspek bertanyakan tentang hutang kepada mangsa tetapi mangsa menafikan.

Disebabkan tidak berpuas hati dengan penafian tersebut, mangsa telah dibawa keluar daripada premis oleh suspek dan kemudian dipukul menggunakan objek berupa kayu hoki sebelum dilibas dengan parang.
Next Post Previous Post