Harga getah jatuh, pekebun kecil terus dibantu- TPM Fadillah

KUALA LUMPUR—Kementerian Perladangan dan Komoditi komited dalam menangani isu ketidaktentuan harga getah dan harga yang rendah di pasaran tempatan.

Menterinya Dato Sri Fadillah Yusof berkata, harga getah adalah dipengaruhi oleh pelbagai faktor terutamanya penawaran dan permintaan getah dunia. 

"Intervensi daripada Kerajaan adalah tidak mudah dan pada tahap yang minimum kerana industri getah negara adalah berorientasikan eksport dan pengeluaran negara juga adalah hanya sekitar 3.3 peratus.

"Begitu juga, harga getah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah turut tertakluk kepada permintaan dan penawaran pasaran selain daripada kos pengangkutan yang menyebabkan perbezaan harga di peringkat ladang," katanya dalam jawapan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Timbalan Perdana Menteri itu pelbagai langkah yang sedang dilaksanakan untuk membantu pekebun kecil yang terkesan akibat penurunan dan ketidakstabilan harga getah di pasaran selain usaha untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah.

Antaranya, katanya Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang bermula dari 1 Januari 2023 yang mana Kerajaan telah menaikkan kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi IPG dari RM2.50 ke RM2.70 sekilogram getah beku (cuplumps).

"Sehingga Ogos 2023, Pemberian IPG telah memberi manfaat kepada 217,705 pekebun kecil dengan pembayaran berjumlah RM474.54 juta. 

"Program IPG ini telah dilaksanakan bermula September 2015," jelasnya.

Selain itu, katanya, Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) di mana kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah melaksanakan Projek TARGET melalui Konsep Koperasi Pekebun Dan Pengusaha Ladang Getah Tempatan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan cara memendekkan rantaian bekalan (supply chain) dengan penglibatan pekebun dalam rantaian industri getah (integrasi menegak).

"Projek ini dijangka dapat menambah nilai getah dan memberi pulangan dan pendapatan yang lebih baik kepada pekebun kecil getah. 

"Sebanyak enam pengusaha dan koperasi telah diluluskan dan sehingga bulan Ogos 2023, peserta program TARGET telah melepasi fasa Incubator," ujarnya.

Tambah Fadillah lagi, Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan menambah baik rantaian bekalan bahan mentah getah melalui peniaga getah atau koperasi serta menggalakkan mereka mengeluarkan lateks bagi menampung bekalan lateks Negara untuk sektor hiliran. 

Bagi menggalakkan penyertaan katanya, setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program ini akan menerima insentif tunai sebanyak RM 1.00/kg bagi 100% kandungan getah kering (KGK).

Pada masa sama beliau memberitahu, para peserta juga menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM 850.00 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off). 

"Manakala bagi koperasi atau peniaga getah berlesen LGM yang menyertai program IPL ini pula, mereka akan memperoleh manfaat bantuan pembinaan baru atau tambah baik pusat pengumpulan lateks (PMG). 

"Malah, pelaksanaan IPL dapat membangunkan model perniagaan bekalan lateks yang lebih cekap," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, kementerian melalui Majlis Getah Malaysia (MRC) telah menubuhkan unit khas bagi membantu meningkatkan aktiviti pengkomersilan R&D danpemindahan teknologi dalam industri getah. 

"Sebanyak empat perjanjian persefahaman bersama (MOU) dengan agensi pengkomersilan dan penyelidikan telah ditandatangani. 

"Manakala sebanyak lima produk/ teknologi telah dibantu untuk dikomersilkan.
"MRC Commercialization Fund (MCF) pula, bagi menyokong aktiviti pengkomersilan oleh pihak
industri, kementerian melalui MRC akan melancarkan Dana MCF yang dijangka pada Oktober 2023.

"Sebanyak RM20 juta disediakan di bawah dana ini untuk menyokong pengkomersilan produk R&D berkaitan getah dalam menembusi pasaran serantau dan antarabangsa," katanya.
Next Post Previous Post