Pemuda rempuh anggota penguatkuasa JPJ ada lapan rekod jenayah, dadah

PORT DICKSON— Pemuda yang merempuh anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 28, Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH) semalam dikesan mempunyai beberapa kesalahan trafik dan lapan rekod jenayah dan dadah.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pemeriksaan mendapati penunggang motosikal itu adalah tiada lesen memandu, lesen kenderaan tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran yang sah.

“Suspek yang ditangkap berumur 25 itu dibawa ke Mahkamah Port Dickson hari ini untuk proses tahan reman.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah untuk menakutkan penjawat awam,” katanya dilapor Buletintv3.

Menerusi video tular berdurasi lima saat itu semalam, seorang anggota penguat kuasa JPJ tersebut terpelanting dan terhantuk di kepala selepas dilanggar penunggang motosikal yang dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.
Next Post Previous Post