H2ornbill, H2biscus Projek Mega di Bintulu Bakal Pacu Ekonomi Hijau Hidrogen Utama di Sarawak

KUCHING-- Dua projek hidrogen mega di Bintulu iaitu Projek H2ornbill dan Projek H2biscus yang dijangka memulakan operasi pada 2027 bakal menjadi tunjang utama ekonomi hijau hidrogen di negeri ini.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Openg berkata, Sarawak kini melihat potensi untuk mengeksportnya ke Jepun dan Singapura.

“Projek H2biscus dijangka menghasilkan 7,000 tan setahun hidrogen hijau untuk kegunaan domestik; 600,000 tan metrik ammonia biru setahun; 630,000 tan metrik ammonia hijau setahun; dan 460,000 tan methanol hijau setahun untuk Eksport,” katanya dalam ucaptama pada Sidang Kemuncak Hijau dan Kelestarian Dunia (WGSS) di Hotel UCSI di sini, pada Isnin.

Tambah Abang Johari, untuk tujuan itu, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) , SEDC Energy menjalinkan kerjasama dengan konsortium multinasional global terdiri daripada Sumitomo, ENOS, Samsung Engineering, Lotte Chemicals, Posco dan Petronas.

Jelasnya, Ruang Hidrogen Hijau, Hab Hidrogen Hijau di Bintulu, akan menjadi dua loji hidrogen mega yang menjadi asas kepada Ekonomi Hidrogen Hijau Sarawak dan projek penanda aras skala dunia.

"Syarikat-syarikat ini akan secara aktif membangunkan keseluruhan projek H2biscus termasuk pelaburan langsung, pembinaan, pengangkutan dan penggunaan," tambahnya.

Selain itu beliau memberitahu, SEDC Energy bekerjasama dengan syarikat Jepun Sumitomo Corporation dan Eneos dalam projek H2ornbill yang akan membangunkan pengeluaran hidrogen hijau berskala besar.

Beliau menambah potensi ekonomi hidrogen adalah tidak terhad, dengan menyatakan bahawa SEDC Energy juga sedang membangunkan loji pengeluaran hidrogen dan stesen mengisi minyak untuk menyokong projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Beliau berkata kilang pengeluaran hidrogen di Rembus, Kota Samarahan, dijangka siap pada 2025.

“Projek KUTS akan menelan kos kira-kira RM6 bilion dan apabila ia siap, ia akan menggunakan sistem autonomous rapid transit (ART) berkuasa hidrogen.

“Ia akan menjadi gabungan kereta api, bas dan trem,” katanya sambil menambah KUTS ART Fasa 1 akan melibatkan laluan Samarahan dan Serian yang akan meliputi keseluruhan 53km di selatan Sarawak.

Gambar Kredit Sarawakku. 
Next Post Previous Post