Anak bunuh bapa berdepan hukuman mati

PETALING JAYA— Angkara mabuk, seorang lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh ayah kandungnya menggunakan penyodok pasir pada 26 Ogos lalu.

Tertuduh, M Jaisino, 40, didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor BuletinTv3.

Majistret Shahril Anuar Ahmad Mustapa menetapkan sebutan semula kes pada 6 Oktober depan.

Mengikut kertas pertuduhan, Jaisino yang juga penganggur itu didakwa membunuh E Mangalam, 74, pada jam 2.15 pagi di sebuah rumah di Taman Dato Hormat.

Suspek ketika itu dipercayai dalam keadaan mabuk bertindak memukul bapanya sehingga mati kerana berang terhadap mangsa yang selalu memarahi dan menghinanya kerana malas bekerja.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Next Post Previous Post