Saman Sulaiman terhadap Raghad didengar 16 Oktober

KUCHING-- Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 16 Oktober depan sebagai tarikh pendengaran permohonan injuksi yang difailkan anak kedua Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib terhadap ibu tirinya, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Memetik laporan Bernama, tarikh itu ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Alexander Siew How Wai.

Mahkamah turut menamakan RHB Bank Berhad sebagai defendan kedua dalam tuntutan.

"Kedua-dua pihak diminta memfailkan penghujahan mereka sebelum 18 September ini," menurut lqporan itu.

Sulaiman yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad diwakili peguam Alvin Chong dan Jonathan Tay, manakala Raghad diwakili oleh Alvin Yong dan enam peguam lagi dalam kes berkenaan.

RHB Bank Berhad pula diwakili oleh Tan Kee Heng dan Lesley Ling Lyn.

Media sebelum ini melaporkan Sulaiman memohon injunksi berhubung pemindahan saham sebuah syarikat swasta kepada Raghad.

Sulaiman, 55, adalah Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak Berhad (CMSB).

Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Samarahan menggantikan bapanya, Tun Abdul Taib Mahmud pada 2008 hingga 2013.

Beliau juga pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelancongan pada 2008 namun meletakkan jawatan setahun kemudian atas alasan peribadi.

Abdul Taib kemudian berkahwin
dengan Raghad pada 18 Disember 2010.
Next Post Previous Post