Zahid dilepas lepas tanpa bebas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, AMLA

KUALA LUMPUR— Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) untuk 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan DNAA yang dipohon oleh timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Sequerah memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi Timbalan Perdana Menteri ini, bagi menggugurkan kesemua tuduhan.

Semasa prosiding, Mohd Dusuki, yang juga adalah ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar timbalan perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi semua 47 pertuduhan, lapor Malaysiakini.

Terdahulu peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid membantah permohonan itu dan memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan (DNA).

DNAA membuka kemungkinan Zahid boleh didakwa semula pada masa hadapan jika pihak pendakwa ingin menyemak semula perkara itu.

Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.
Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Zahid menghadapi 12 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan; lapan pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009; dan 27 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi pertuduhan CBT, Zahid didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Affin Bank Berhad di Jalan Bunus di luar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016.

Di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, kesalahan CBT boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, serta sebat, dan denda.

Berhubung dengan lapan pertuduhan rasuah itu, Zahid dikatakan telah menerima rasuah daripada tiga firma - Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Datasonic Group Bhd dan Profound Radiance Sdn Bhd - sebagai dorongan untuknya, dalam kapasitinya sebagai menteri dalam negeri, untuk membantu syarikat untuk mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan masing-masing dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran di Pakistan dan Nepal.

Di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank di Dataran Maybank, di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Berhubung 27 pertuduhan pengubahan wang haram, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa terlibat dalam transaksi langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, cawangan Dataran Maybank, Tingkat 1, Menara A, No 1 Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, LG 1.15, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, antara 29 Mac 2016 , dan 11 April 2018.

Semasa peringkat pendakwaan perbicaraan yang bermula pada 18 Nov 2019 dan berakhir pada Mac 2021, 99 saksi dipanggil untuk memberi keterangan - termasuk bekas pegawai khas Zahid Wan Ahmad Wan Omar serta bekas setiausaha eksekutif tertuduh Mejar Mazlina Mazlan@Ramly .

Saksi lain yang tampil untuk pendakwaan termasuk B Muralidharan, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, dan pengurup wang Omar Ali Abdullah.
Next Post Previous Post