Polis Sarawak larang terbangkan dron pada Kembara Kenali Borneo

KUCHING—Orang awam dilarang menerbangkan dron di semua lokasi persinggahan serta laluan konvoi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Kembara Kenali Borneo di Sarawak bermula Khamis ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, hanya pihak yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) seperti Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kerajaan serta Istana Negara dibenarkan berbuat demikian pada hari tersebut.

“Polis Sarawak mengingatkan orang awam bahawa penerbangan dron dilarang sama sekali di setiap lokasi persinggahan baginda. 

“Larangan ini atas aspek keselamatan. Selain itu kita nasihatkan orang awam mematuhi peraturan lalu lintas dan memberikan kerjasama di setiap persinggahan bagi memastikan konvoi ini berjalan lancar dan selamat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Mohd Azman menunjukkan lokasi persinggahan serta laluan konvoi Kembara Kenali Borneo semasa sidang media hari ini.

Mohd Azman menambah, seramai 1,879 anggota polis termasuk 233 pegawai kanan Kontinjen Sarawak ditugaskan untuk memastikan kelancaran Kembara Kenali Borneo di Sarawak yang bermula di Tawau semalam.

Katanya, Op Kembara Diraja Borneo itu membabitkan semua elemen Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak yang akan mengiringi baginda bermula dari Lawas, di utara Sarawak hingga ke Telok Melano.

Ujar beliau, baginda dijadual singgah di Brunei untuk menghadiri program persendirian di negara itu sehingga 9 September.

“Pada 9 September itu, konvoi baginda akan berangkat dari Brunei menuju ke Miri melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sungai Tujuh.

"Selepas itu, baginda akan menempuh perjalanan sejauh 1,198 kilometer sehingga penempatan penduduk terakhir di penghujung sebelah barat Borneo, ke Telok Melano," katanya 

Konvoi Program Kembara Kenali Borneo itu akan singgah di lapan daerah iaitu Lawas, Miri, Bintulu, Tatau, Sibu, Sri Aman, Kuching dan Lundu.

Antara lokasi yang akan dilawati baginda di Sarawak termasuk Tebingan Lawas, Miri Handicraft Centre, Coco Cabana Miri, Kampung Pangkalan Lutong, Pantai Bungai Bekenu, Kampung Penan Muslim Batu 10, Rumah Panjang Raymond Plen, Sungai Gelam, Sebauh, Tokong Yu Lung Tian En Si Sibu, Kampung Bandung Sibu, Pasar Central Sibu, Masjid Bahagian Sri Aman, Fort Alice Sri Aman dan Zero KM Lebuh Raya Pan Borneo, Telok Melano.
Next Post Previous Post