Sarawak mampu jadi 'Harimau Asia’, Abang Johari

KUCHING—Pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Sarawak sebagai 'Harimau Asia' dengan pertumbuhan ekonominya yang pesat berpotensi menjadi kenyataan. 

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, salah satu faktor utama kejayaan Sarawak adalah kerana kerajaan di bawah pimpinannya berupaya menentukan hala tuju dan dasar yang betul berasaskan sumber yang ada dan memaksimumkan kelebihan yang dimiliki oleh negeri ini.

Menurutnya, ini termasuk penglibatan dalam sektor ekonomi baharu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan negara dan seterusnya memberi manfaat jangka panjang kepada setiap lapisan masyarakat.

"Dalam hal ini, kita bercakap tentang perubahan iklim. Kini orang ramai sedang menangani isu iklim di mana pelepasan karbon adalah salah satu punca masalah global. 

"Jadi apa yang saya lakukan ialah saya membuat kajian tertentu mengenai perkara ini, dan saya dapati bahawa kita mesti mempunyai dasar tertentu untuk mengurangkan isu pelepasan karbon. Itu yang pertama.

"Kedua, mengurangkan suhu global. Mengikut kajian saya, Sarawak mempunyai sumber untuk mengurangkan pelepasan karbon dan pada masa sama menyumbang kepada pengurusan iklim. Kita ada hutan, kita ada sumber asli, terutama biodiversiti. Jadi kita berpeluang mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada perdagangan karbon baharu. 

"Maka di sini terdapat banyak peluang untuk kita melakukan transformasi ke arah ekonomi baharu. Saya rasa mungkin kerana itu Perdana Menteri menyebut bahawa Sarawak ialah 'Harimau Asia' baharu ke arah ekonomi," katanya dalam program bual bicara perniagaan dan kewangan, 'Money Matters', di saluran TV3, pada Sabtu, menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari turut menekankan kepentingan utama Sarawak pada masa kini adalah untuk mengekalkan kedudukannya sebagai negeri berpendapatan tinggi dengan pendekatan pembangunan ekonomi yang inklusif.

"Sarawak telah diisytihar oleh Bank Dunia sebagai negeri berpendapatan tinggi. Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita kita menepati piawaian Bank Dunia, dan kejayaan ini ternyata lebih awal daripada yang dijangka.

"PNK per kapita mesti diagihkan melalui pelbagai strategi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah. Dalam usaha ini, pembangunan bakat adalah salah satu aspek penting yang perlu digalakkan.

"Pembangunan industri baharu seperti petrokimia juga harus dipercepat bagi memberi peluang pendapatan kepada penduduk setempat, selain sektor pertanian perlu menjadi pertanian pintar atau pertanian jitu dengan menggunakan teknologi.

"Di samping itu, saya yakin dalam tempoh tujuh tahun, Sarawak akan berkembang maju melalui program peralihan ini dengan bantuan sistem pendidikan. Pendidikan memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat ini, dan kerajaan Sarawak telah menubuhkan lima sekolah antarabangsa yang memberi peluang kepada pelajar berkelayakan,"jelas beliau.

Episod kedua musim baharu program bual bicara itu menampilkan Premier Sarawak sebagai tetamu jemputan khas bagi menjelaskan beberapa persoalan mengenai inisiatif kerajaan Sarawak.

Gambar ihsan UKAS
Next Post Previous Post