Abang Johari ulangi pendirian mahu dua syarat dipenuhi sebelum pengambilalihan MASwings

KUCHING— Premier Sarawak dalam program bual bicara perniagaan dan kewangan, 'Money Matters', di saluran TV3, pada hari ini sekali lagi mengulangi pendirian mahu dua syarat dipenuhi sebelum pengambilalihan sepenuhnya MASwings untuk dijadikan syarikat penerbangan butik.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarat tersebut sebagai sebahagian daripada usaha memastikan perkhidmatan penerbangan MASWing diuruskan dengan lebih cekap.

"Saya mahu dua syarat dipenuhi. Kita mahu mengambil MASWing yang bebas beban hutang yang boleh menjejaskan kemampuan kewangannya dan kedua laluannya mestilah serantau. 

"Pada masa ini, MASWing hanya terbang dalam Sarawak dan Sabah. Bukan itu yang kita mahu. Kita mahukan syarikat penerbangan serantau, tetapi kecil dan berbentuk butik. 

"Itu akan memberi satu lagi infrastruktur kepada orang ramai untuk datang ke Sarawak dan juga untuk menstabilkan harga tambang penerbangan. Masalah kita adalah tambang.
Apabila musim perayaan, anda boleh melihat malah 'Air Asia' juga turut menaikkan harga tambang. Jadi itu bukan cara yang betul untuk menguruskan hubungan antara Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” katanya, menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak hari ini.

Beliau berkata, objektif kerajaan ialah mempunyai syarikat penerbangan selain untuk meneroka pasaran baru adalah untuk menstabilkan harga tambang.

Abang Johari tidak menafikan bahawa sektor perkhidmatan ini amat penting, bukan sahaja untuk pelancong datang melihat keindahan yang ada, tetapi juga berkenaan dengan pelancongan perubatan yang boleh meningkatkan ekonomi serta memberi manfaat kepada negara.

"Sememangnya, sektor perkhidmatan adalah penting, bukan sahaja untuk anda melihat flora dan fauna, tetapi juga pelancongan perubatan. 

"Saya tekankan di sini bahawa kita menerima ramai pesakit asing yang datang ke sini dan merujuk kepada hospital swasta kita,"tambahnya lagi.

Episod kedua musim baharu program bual bicara itu menampilkan Premier Sarawak sebagai tetamu jemputan khas bagi menjelaskan beberapa persoalan mengenai inisiatif kerajaan Sarawak termasuk berhubung pengambilalihan MASwings.

Setakat ini, Sarawak telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk MASwings, untuk membincangkan pemerolehan syarikat penerbangan itu. 

Gambar ihsan Unit Komunikasi Awam Sarawak
Next Post Previous Post