Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di "laluan mistik" Bukit Begunan paling mencabar

KUCHING-- Pembinaan di Seksyen Bukit Begunan merupakan jajaran Lebuhraya Pan Borneo yang paling mencabar, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Jelasnya, seksyen itu dijadualkan siap pada November tahun ini.

“Seksyen Bukit Begunan belum siap dan saya difahamkan ia dapat disiapkan pada bulan November.

"Sehingga Julai 2023, prestasi pelaksanaan keseluruhan WPC (pakej kerja kontrak) ini adalah 97 peratus dengan jangkaan siap keseluruhan pada Disember 2023," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke Kawasan Rehat dan Perkhidmatan (RSA) Jelukong, Simanggang hari ini.

Tentang Bukit Begunan, sudah pastinya ramai warga Sarawak yang mengenali nama ini yang merupakan kawasan jalan berbukit Kuching- Sri Aman yang sering menghantui pemandu-pemandu.

Difahamkan, sudah banyak terjadi kemalangan maut di laluan ini selain insiden mistik.

Jadi tidak menghairankan jika berlakunya "gangguan" semasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di laluan berkenaan.

Terdahulu, Nanta bersama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Aidel Lariwoo dan rombongan kementerian persekutuan dan negeri serta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengadakan tinjauan di Seksyen Bukit Begunan, Sri Aman.

Ini merupakan lokasi tinjauan pertama beliau dalam siri jelajah Explorasi Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang dilancarkan hari ini.

"Selain daripada memantau prestasi pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak, program ini turut melihat lokasi-lokasi yang akan ditelusuri oleh Yang di-Pertuan Agong semasa Jelajah Kembara Borneo yang dijadualkan berlangsung pada bulan September," katanya lagi.

Dalam pada itu, Nanta turut meninjau pembinaan projek Kawasan Rehat & Rawat (Rest & Service - RSA) Jelukong.

Beliau memberitahu, pembinaan RSA berkenaan kini telah 88 peratus siap.

"Kawasan Rehat & Rawat Jelukong ini nanti bakal menempatkan 8 buah kedai makan, 2 kedai serbaneka, surau lelaki, surau wanita, tandas lelaki beserta bilik mandi, tandas wanita beserta bilik mandi, tandas OKU, gazebo serta tapak letak kereta," jelasnya.

Mengenai jelajah itu, kata beliau, setakat ini keadaan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo berjalan dengan baik.

"Kita dapat memantau kemajuan projek selain melakukan pembaikan untuk keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

"Kita juga akan menaik taraf serta menyelenggara jalan raya empat lorong sedia ada atau ‘red line’ agar ia setaraf dengan Lebuh Raya Pan Borneo," ujarnya.

Gambar Kementeria Kerja Raya
Next Post Previous Post