Pecah masuk rumah sarang burung walit, dua lelaki diberkas

SIBU--Dua lelaki tempatan masing-masing berumur 29 dan 30 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam jenayah pecah masuk sebuah rumah sarang burung walit di Jalan Durin pada awal pagi Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, dalam Op Lejang Khas /Op Pintu yang dijalankan sekitar jam 2.40 itu, pasukan polis telah menahan suspek pertama yang menaiki kereta jenis Honda Civic yang berada dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan terhadap sebuah rumah sarang burung berhampiran telah mengesan seorang lagi suspek yang bersembunyi dalam rumah tersebut yang mana pemeriksaan dijalankan menjumpai peralatan pecah masuk rumah yang dipercayai digunakan kedua-dua suspek bagi menjalankan kegiatan jenayah mereka.

Kedua-dua suspek kemudiannya ditahan bagi membantu siasatan dan akan disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Turut dirampas ialah kereta Honda Civic termasuk peralatan pecah rumah seperti dua bilah parang, sarang burung walit seberat dalam anggaran 130 gram, seunit gunting, sebatang tombak, dua unit lampu suluh dan satu topeng muka sebagai bahan bukti kes.

Kedua-dua suspek akan dikenakan tahanan reman selama enam hari sehingga 17 Ogos ini nanti bagi membantu siasatan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian pecah rumah sarang burung walit ini boleh mengemukakan aduan ke balai polis berhampiran.
Next Post Previous Post