Peguam terharu anak ibu malang yang dibantunya kini seorang peguam.

PETALING JAYA— Peguam jenayah, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar membantu seorang ibu yang dibicarakan di mahkamah kerana mencuri kotak pensel berharga RM18, tanpa mengenakan bayaran sesen pun.

Selepas beberapa tahun, Ahmad Zaharil tidak menyangka pertolongan itu ‘dibayar’ dengan harga yang tidak ternilai apabila takdir menemukan mereka semula, sebagai ‘keluarga’ meskipun berlainan kaum dan agama.

Mengimbas kembali, Ahmad Zaharil yang kini berusia 57 tahun berkata ia berlaku pada 1998 ketika dia berusia 30an dan baru beberapa tahun bertugas sebagai peguam.

“Pada hari tersebut selepas mengendalikan satu kes, saya duduk bersendirian di dalam bilik mahkamah. Saya tidak ingat bulan berapa, tapi jam ketika itu menunjukkan 11 pagi.

“Saya lihat polis membawa masuk seorang wanita India dalam lingkungan 50an yang bekerja sebagai tukang cuci, tangan bergari dan dalam keadaan tertekan.

“Melihat keadaannya begitu, saya tergerak menghampirinya dan bertanya apa yang berlaku sehingga dia dihadapkan ke mahkamah. Dia menjawab, kerana mencuri bekas pensel dari sebuah pasar raya,” kata Ahmad Zaharil ketika berkongsi kenangan yang tidak dapat dilupakan selama 31 tahun menjadi peguam menerusi Tik Toknya baru-baru ini.

Ahmad Zaharil berkata, apa yang menyayat hatinya selepas wanita tersebut memberitahu dia terpaksa mencuri kotak pensel untuk dihadiahkan kepada anak lelakinya yang memperolehi nombor satu dalam kelas.

“Namun kerana tidak mempunyai wang, wanita itu bertindak mencuri kotak pensel tersebut sebelum ditangkap dan diserahkan kepada polis.

“Ketika itu saya fikir, jika dia dipenjara bagaimanakah nasib anaknya yang berusia 10 tahun dan masih belajar di Tahun 4?,” kata Ahmad Zaharil.
Beliau kemudian meminta majistret menangguhkan perbicaraan sehingga jam 2.30 petang. Ahmad Zaharil kemudian bertemu dengan guru besar sekolah di Sentul.

“Dia (guru besar) keluarkan ‘report card’ dan saya lihat memang betul budak itu dapat nombor satu. Saya pun minta guru besar itu untuk ke mahkamah bagi menerangkan perkara ini.”

Dalam keadaan sedih, Ahmad Zaharil meminta bantuan guru besar tersebut supaya hadir ke mahkamah untuk menerangkan keadaan sebenar.

“Hasil penerangan guru besar dan saya yang bertindak sebagai peguam, wanita tersebut dijatuhi hukuman ringan iaitu berkelakuan baik beberapa tahun.

“Sebelum dia meninggalkan mahkmah, saya bersama beberapa kakitangan mahkamah dan polis turut menghulurkan bantuan wang ringgit untuk meringankan” katanya.

Tahun silih berganti. Bayangkan melakukan kebaikan dan melupakan kebaikan itu, sehingga pada suatu hari insan yang menerima kebaikan itu muncul di hadapan mata untuk berterima kasih. Ahmad Zaharil tidak kenal wanita India itu lagi. 

Namun pada satu hari, beliau hampir pengsan apabila individu yang tidak dikenali bertanyakan sama ada beliau masih ingat budak kotak pensel.

Ketika sedang duduk di kantin beberapa tahun lalu, Ahmad Zaharil menyedari dirinya sering diperhatikan oleh individu yang tidak dikenali.

“Saya menyedari ada seorang lelaki selalu memandang saya dari jauh sambil tersenyum. 

“Beberapa hari kemudian, dia datang menyapa saya dan memberitahu ibunya mengirimkan salam kepada saya. Dia mengakui bahawa dirinya adalah budak yang meminta kotak pensel dan kini menjadi peguam.

“Mungkin tuan tak ingat, tetapi saya budak yang hendakkan kotak pensel itu dan saya sekarang pun peguam. Saya pun tak boleh nak fikir, berjurai air mata saya ketika itu. Kami kemudian berpelukan.

“Disebabkan saya pernah menolong budak itu dia sekarang menjadi seorang peguam dan saya selalu berjumpa dengannya. Baru-baru ini dia jumpa saya dan mencium tangan saya. Kenangan itu tidak akan saya lupakan sampai mati,” kata beliau.

Sementara itu memetik The Star, Ahmad Zaharil menambah, sejak itu hubungan mereka bertambah akrab malah beliau menganggap peguam tersebut sebagai anak sendiri.

Setiap tahun pada musim perayaan Deepavali dan Hari Raya, kedua-dua keluarga ini saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain.

“Saya menolong wanita tersebut atas semangat prihatin sesama rakyat Malaysia. Walaupun berbeza latar belakang, namun kita mempunyai persamaan membolehkan rakyatnya hidup harmoni,” katanya.
Next Post Previous Post