Hempas bayi 40 hari ke lantai selepas terdengar ‘bunyi bisikan’

Georgetown— Seorang lelaki tergamak mencampakkan anak saudaranya yang berusia tiga tahun dari tingkat satu sebuah pangsapuri sebelum bertindak menghempas adik mangsa, seorang bayi berusia 40 hari ke lantai selepas mendakwa terdengar bunyi bisikan dalam kejadian di Sungai Pinang, semalam.

Dalam kejadian 3.40 petang itu, kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan di mulut serta patah kaki kiri manakala adik perempuannya mengalami pendarahan di bahagian kepala, menurut Harian Metro.

Sebelum kejadian, suspek berusia 29 tahun mengelar pergelangan tangan kanannya.

Ahli keluarga yang mahu dikenali sebagai Taiyoob berkata, dia terdengar jeritan ibunya meminta tolong sebelum mendapati adik lelakinya berada dalam keadaan berbogel serta berlumuran darah.

“Kejadian berlaku dengan pantas dan dia turut mendapatkan bantuan jiran bagi menenangkan suspek.

"Ahli keluarga yang lain menyelamatkan kedua-dua anak kakak saya itu sebelum menghantar mereka ke hospital.

“Suspek adalah adik saya sendiri dan dia menerima rawatan tradisional kerana mempunyai masalah kesihatan sejak dua bulan lalu,” katanya.

Menurut Taiyoob, adiknya mendakwa terdengar ‘bunyi bisikan’ sebelum bertindak mencederakan kedua-dua mangsa.

Ketika kejadian, ibu kepada mangsa masih dalam tempoh berpantang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.

Gambar Hiasan
Next Post Previous Post