Kes libas di Matang: Polis buru dua lelaki

KUCHING-- Polis kini giat memburu dua individu yang dihendaki bagi membantu siasatan kes mendatangkan kecederaan parah dan merusuh di sebuah premis makan di Matang pada Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, dua individu dikehendaki itu dikenali sebavai Affidi@Adi Jamani, 34, dan Suhaimi@Pimping Jamani, 28.

"Kedua-dua penama di atas dikehendaki untuk membantu siasatan
bersabit satu kes mendatangkan cedera parah dan merusuh yang
dilaporkan berlaku pada 21 Ogos 2023 jam lebih kurang 1.00 pagi.

"Kejadian tersebut berlaku di sebuah premis yang terletak di Matang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau amat mengalu-alukan
orang ramai untuk tampil memberi kerjasama jika mempunyai
maklumat berkenaan kedua-dua individu ini.

"Maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, ASP Sylvarius di talian 013-8637241 ataupun kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Nyaum Ringkai di talian 0166793703 atau
menghubungi balai polis yang berhampiran," ujarnya.

Pada Isnin lalu, polis menahan lima individu bagi membantu siasatan kes mendatangkan cedera parah ke atas seorang lelaki serta merusuh di sebuah premis makan di kawasan Matang awal pagi Isnin.

Lim berkata, kelima-lima suspek yang terlibat ditangkap pada hari yang sama menerusi satu operasi yang telah digerakkan meliputi elemen Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dan IPD Daerah.

"Tangkapan telah berjaya dilakukan ke atas lima orang suspek yang disyaki ada penglibatan di dalam kes ini. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326
Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh sehingga 20 tahun dan juga denda atau sebat.

"Kes ini turut disiasat di bawah
Seksyen 148 kanun yang sama atas kesalahan merusuh dengan senjata yang mana membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya," katanya.

Mengulas kes itu, Lim berkata pada 21 ogos 2023 jam 1.16 petang polis menerima satu laporan berhubung dengan satu insiden di mana seorang mangsa lelaki tempatan berusia 30-an, telah dicederakan dengan menggunakan objek tajam berupa parang dan kayu hoki di sebuah premis yang terletak di kawasan Matang.

"Kejadian sebenar berlaku pada tarikh yang sama jam lebih kurang 1.00 pagi yang mana pada ketika itu mangsa bersama dengan teman wanitanya sedang makan malam dan telah didatangi oleh lima suspek.

"Salah seorang suspek menuduh mangsa mempunyai hutang
dengannya tetapi dinafikan oleh mangsa. 

"Tidak puas hati dengan penafian oleh mangsa tersebut, mangsa telah dibawa keluar daripada premis oleh suspek dan kemudiannya telah dipukul menggunakan objek berupa kayu hoki sebelum dilibas dengan
parang," jelasnya.

Tambahnya, mangsa cuba melarikan diri tetapi tidak berjaya dan menyebabkan kecederaan luka di bahagian badan dan kaki. 

"Menyedari mangsa cedera, kelima-lima suspek telah melarikan diri dan mangsa telah dirujuk ke hospital umum untuk rawatan lanjut. 

"Mangsa dalam keadaan stabil namun memerlukan pemerhatian rapi kerana
kecederaan dialami," ujarnya.

Sehubungan itu, Lim meminta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi negatif dalam kes ini. 

Beliau turut menasihatkan orang awam agar tidak sekali-kali menyebarkan video yang ada kaitan dengan kes ini kerana boleh menjejaskan siasatan pihak polis. 

"Sesiapa yang didapati menularkan video tanpa kebenaran, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," tegasnya.
Next Post Previous Post