Sarawak tuntut Kerajaan Persekutuan pulangkan bangunan bersejarah Pejabat Pos Besar Kuching

Tiada pembangunan di tapak Pejabat Pos Besar Kuching sejak kerajaan Persekutuan ambil alih. Kredit Sarawak Tourism Board. 

KUCHING— Sarawak menuntut kerajaan Persekutuan memulangkan Pejabat Pos Besar Kuching di Jalan Tun Abang Haji Openg bagi membolehkan ia diwartakan sebagai bangunan bersejarah.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tapak bangunan itu merupakan antara lot tanah milik Sarawak yang diambil kerajaan Persekutuan, namun tidak dibangunkan sehingga kini.

“Ya, memang kita mahu ambil semula bangunan Pejabat Pos Besar itu kerana ia adalah bangunan warisan ikonik dan bersejarah.

“Bangunan itu termasuk dalam senarai 52 lot tanah milik Sarawak, justeru ia wajar dikembalikan,” katanya kepada media pada Majlis Perhimpunan Maal Hijrah 2023 di Kompleks Islam Sarawak di sini, hari ini (19 Julai).

Pada Selasa, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata,kerajaan persekutuan bersetuju mengembalikan 
52 daripada 219 lot tanah yang terbiar dan gagal dimajukan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata, Kerajaan Pesekutuan banyak memperolehi lot tanah di Sarawak namun ia tidak dibangunkan dan terbiar begitu sahaja.

“Dengan pengembalian ini, Sarawak dapat memajukan kawasan tanah tersebut untuk pembangunan yang memanfaatkan rakyat,” katanya sambil menambah ia meliputi tanah yang tidak dimajukan dalam tempoh lima tahun.
Next Post Previous Post