Mayat lelaki hampir reput ditemukan berhampiran kawasan pembuangan sampah

BINTULU—Orang awam di sini dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki yang hampir mereput serta busuk berhampiran kawasan pembuangan sampah Syarikat Forescom Plywood Sdn Bhd petang tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Batholomew Umpit berkata, Balai Polis Pusat Bintulu telah menerima panggilan dari orang awam berhubung penemuan mayat di kawasan semak berhampiran tempat pembuangan sampah berkenaan pada jam 3.10 petang.

"Hasil siasatan awal yang dijalankan oleh pasukan polis yang menjalankan pemeriksaan ke lokasi kejadian mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan mereput dan berbau busuk," ujar beliau.

Identiti mangsa bagaimanapun katanya belum lagi dapat dipastikan memandangkan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada badan mangsa.

Hasil pemeriksaan awal jelas Batholomew mengesahkan mangsa merupakan lelaki berusia dalam lingkungan umur 40-an serta botak.

Hasil pemeriksaan yang dijalankan juga jelasnya mendapati tidak terdapat unsur-unsur jenayah pada tubuh mangsa yang mana kes ini diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR).

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu bagi tujuan bedah siasat.

"Orang ramai dalam pada itu diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar berhubung kes kematian ini kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Mana-mana orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga atau lama tidak balik ke rumah boleh membuat laporan polis di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Sarjan Ahmad Amir Youb Bahari di talian 013-5653756 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.
Next Post Previous Post