Pemilik taska, kakitangan didakwa aniaya, abai kanak-kanak di bawah jagaan

IPOH— Tiga wanita termasuk pemilik taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengabaikan dan menganiaya lima kanak-kanak di bawah jagaan mereka, minggu lalu.

Tertuduh yang juga pemilik taska, Rozidah Yahaya, 51, dan kakitangannya, Noor Shafina Abdul Khair, 26, dan Wan Suhaila Mior Khir, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad dan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.

Pada prosiding di hadapan Azizah, Rozidah yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun telah meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan dan pemeliharaan untuk satu tempoh yang berpatutan sehingga menyebabkan mangsa cedera di lengan kiri.

Kesalahan itu dilakukan di Taska Nur Raihan, Taman Meru Perdana dalam daerah Chemor antara pukul 4.14 hingga 4.15 petang, 6 Julai 2023.

Dia didakwa di bawah Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim menetapkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Manakala di Mahkamah Sesyen berasingan, Noor Shafina dan Wan Suhaila yang merupakan pembantu dan guru taska masing-masing didakwa bagi tiga pertuduhan menganiaya empat kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki berusia lingkungan dua tahun di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengikut pertuduhan, mereka melakukan perbuatan termasuk menampar pipi, menarik badan, menekan kepala ke bantal, merentap rambut dan mencubit pipi mangsa melibatkan empat kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki.

Kesalahan tersebut dilakukan pada 4 dan 6 Julai 2023 di Taska Nur Raihan, Taman Meru Perdana 2, Chemor di sini.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-keduanya sekali.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menawarkan jaminan berjumlah RM7,000 kepada Noor Shafina manakala Wan Suhaila dibenar diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Qurratu'aini Khalifah dan Evangelin Simon Silvaraj manakala Wan Suhaila diwakili Raja Mohd Iskandar Zulkharnian Raja Abdul Malek dan Noor Shafina pula diwakili peguam Mohammad Syarifuddin Zaid.

Tarikh sebutan semula bagi ketiga-tiga tertuduh pada 16 Ogos depan.

Sumber Sinar Harian
Next Post Previous Post