Operasi menterbalikkan kapal MV Tung Sung ambil masa lima hingga tujuh hari

 
KUCHING— Operasi menterbalikkan kapal MV Tung Sung yang karam di perairan Pulau Burung, Sebuyau dijangka akan mengambil masa dalam lima hingga tujuh hari.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, operasi akan disambung bermula pada Ahad (30 Julai).

“Sehubungan itu Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) kapal tersebut ditangguhkan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak. 

“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching akan menyelaras semula operasi berkenaan bersama-sama agensi penyelamat yang terlibat bagi tujuan pencarian di bahagian dalam kapal MV Tung Sung selepas kerja-kerja menterbalikkan kapal tersebut selesai,”katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Beliau berkata, namun MRSC Kuching sentiasa dibuka bagi memantau kes CARILAMAT ini sehingga selesai.
 
Katanya, jumlah keseluruhan keluasan sektor pencarian sehingga operasi hari ketujuh adalah seluas 1221.36 batu nautika persegi yang meliputi sekitar perairan Sebuyau, Pulau Burung dan pesisir pantai Pulau Burung yang melibatkan aset Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin (PPM), Sarawak Coast Guard (SCG), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) manakala pencarian melalui udara turut melibatkan aset udara dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
 
“Pencarian pada hari kelapan dan kesembilan tertumpu kepada pemantauan dan kawalan keselamatan terhadap kerja-kerja menerbalikkan kapal MV Tung Sung, selain kawalan tumpahan minyak di kawasan terbabit.
 
“Sepanjang Op CARILAMAT ini dilaksanakan, empat mayat telah ditemukan dan empat lagi masih hilang sehingga penangguhan Op CARILAMAT ini.
 
“Maritim Malaysia dalam pada itu ingin mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan turut bersedih diatas kejadian tersebut. Semoga keluarga mangsa tabah melalui saat-saat sukar ini.
 
“Penghargaan dan terima kasih turut dirakamkan kepada semua pasukan keselamatan yang telah bertungkus lumus dalam Op CARILAMAT yang telah dikoordinasikan oleh MRSC Kuching,” katanya.

APMM turut berterima kasih kepada bot nelayan tempatan nombor pendaftaran SF1- 3162, yang telah menyalurkan maklumat mengenai lokasi penemuan tiga mayat terapung kepada pihak Maritim Malaysia yang membawa kepada penemuan mayat yang keempat.
 
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 432016 atau MERS 999.
 
Gambar ihsan APMM
Next Post Previous Post