Broker hartanah kerugian RM391,000 ditipu pelaburan tak wujud

MIRI— Wang sebanyak RM391,000 hasil jualan tanah, rumah dan simpanan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) milik seorang broker hartanah lesap selepas lelaki itu terpedaya dengan sindiket pelaburan saham menerusi aplikasi Group pada Mei lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Dato Mancha Ata berkata, mangsa berusia awal 70-an itu telah menerima mesej di aplikasi Group yang menawarkan beberapa pakej pelaburan saham kononnya mendatangkan keuntungan. 

Beliau berkata, mangsa kemudian diarahkan menghubungi Bob iaitu suspek, sebagai group leader saham di talian telefon yang telah diberikan suspek menggunakan nama stock exchange pslus.

“Mangsa kemudian diminta menjelaskan pembayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri atas keuntungan sebanyak 24 peratus daripada keuntungan yang pertama selain pembayaran tambahan iaitu cukai keuntungan dan modal pelaburan. 

“Akibat terpedaya dengan tawaran keuntungan, pada sekitar bulan Jun 2023, mangsa membuat sebanyak 11 kali transaksi pembayaran berjumlah RM391,000 ke dalam
empat akaun bank yang berbeza,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Mancha menambah, pada 3 Julai, mangsa telah bertanyakan kepada suspek berkenaan keuntungan hasil jual beli saham yang telah dilaburkan, namun mangsa
telah diminta untuk membuat pembayaran lagi untuk cukai hasil daripada keuntungan tersebut. 

Manga yang menyedari dirinya ditipu terus tampil membuat laporan polis.
Next Post Previous Post