Jual syabu tidak kesampaian, penganggur dicekup di Limbang

LIMBANG -- Hasrat seorang penganggur untuk mendapatkan keuntungan hasil menjual syabu memakan diri,apabila dicekup polis dalam satu serbuan pada malam Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata suspek tempatan berusia 44 tahun, diberkas dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Kubong pada jam 11 malam.
“Serbuan dijalankan oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, yang bertindak hasil maklumat dan risikan.

“Hasil pemeriksaan dalam bilik yang diduduki suspek itu, kita menemui satu batang anak kunci dipercayai kunci kereta suspek.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kereta yang berada di lokasi terbabit, pihak polis telah menjumpai 11 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 17 gram, yang diletakkan di dalam dashboard kereta itu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Jelasnya suspek juga positif dadah,hasil ujian awal saringan air kencing ke atasnya.
Kata Parum suspek yang tidak bekerja itu mempunyai dua kesalahan jenayah dadah lampau dan dipercayai terlibat secara langsung dalam kegiatan penjualan dadah di sekitar Limbang.

Kata beliau lagi harga pasaran tempatan dadah yang dirampas adalah lebih kurang RM3,400 dan boleh digunakan oleh seramai 85 kali penggunaan.

“Suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39A(1) ADB 1952 

“Pihak polis tetap mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dengan sebarang kes jenayah terutama membabitkan dadah dan meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada pihak polis,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi IPD Limbang Sarawak di talian 085-211466 atau hotline Polis Sarawak di talian 08-2245 522 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
Syabu ..kredit to Polis Limbang
Next Post Previous Post