Lusong Laku sangat cantik, tetapi tiada pelawat


Menjiwai pembangunan di pedalaman terpinggir sempena 60 tahun kemerdekaan Sarawak

Kami bertiga memasang angan-angan menerokai Empangan Bakun, memancing sambil menerbangkan drone untuk mengambil gambar keindahan semulajadi ciptaan tuhan yang begitu banyak diperkatakan di media sosial.

Malangnya, impian kami musnah di pintu masuk empangan Bakun. Kami dilarang masuk. No entry. 

Cerita tentang pulau-pulau peranginan apabila empangan ini siap yang kami dengar lebih 20 tahun yang lalu rupa-rupanya semua pembohongan semata-mata. 

Walhal, berkali-kali saya membaca kenyataan bahawa Empangan Bakun sudah sah menjadi milik kerajaan Sarawak, bukan lagi milik Imperialis Kolonial Malaya. 

Saya ulang, perjalanan ke Air Terjun Lusong Laku, Hulu Belaga atau O’ong Pejik dalam bahasa Penan, bukan perancangan asal kedatangan kami ke Belaga. 

Namun ‘tersangkut’ di Belaga selepas kempunan melihat keindahan Empangan Hidroelektrik Bakun.

Hanya tuhan tahu betapa pilunya hati kami, apalagi selepas menempuhi perjalanan kira-kira 369 kilometer dari Sibu kami dilarang masuk ke empangan Bakun untuk menginap di Homestay.

Empangan Bakun hanya dibuka kepada orang awam pada hari Sabtu, sedangkan kami sudah terpacak di depan pagar pada petang Rabu, tiga hari lebih awal.

Untuk menenangkan hati yang marah dan kecewa, kami memutuskan mencari penginapan di pekan Belaga yang terletak kira-kira 37km dari Empangan Hidroelektrik Bakun. 

Jaraknya tidaklah jauh sangat, namun pemanduan mencabar kerana perlu melalui jalan sempit berliku.

Kami tiba di pekan Belaga sekitar jam 5.15 petang. Masih siang, beberapa kedai masih buka. Pekannya kecil, namun lengkap seadanya, 

Kedai menjual peluru senjata api pun masih ada. Bagi generasi yang lahir era 70an hingga 80an, pekan ini pastinya menggamit memori zaman kanak-kanak.

Terdapat dua hotel bersebelahan. Pihak berkuasa tempatan wajar dipuji atas inisiatif membina Waterfront Belaga, cantik dan sangat mendamaikan. Ada mercu tanda di tebing sungai untuk pelawat mengambil gambar sebagai bukti sudah sampai di sini.

Menjenguk tandas bilik hotel, ada bath tub era James Brooke. Sayang belum ada bilik hotel didatangkan dengan pemandangan Sungai Rajang. 

Menerokai pekan Belaga

Aktiviti pagi di kaki lima pekan Belaga bermula seawal jam 6 pagi. Ramai wanita menjual ikan sungai, hasil hutan dan sayur-sayuran. 

Pagi itu saya langkah kiri, buah durian sudah habis dibeli pemborong untuk dibawa ke Bintulu, hanya bau durian sahaja tinggal, membayangkan betapa sedapnya buah kawasan pergunungan.
 
Meninjau pekan koboi itu, ada yang sudah bermain snooker seawal jam 7 pagi. Di dalam kedai snooker, duduk dua wanita Penan dalam lingkungan umur 70an. 

Lengannya penuh dengan tatu. Lalu saya meminta izin mengambil gambar, mereka bersetuju dengan syarat saya membayar. 

Saya keluar dari pusat snooker, masuk ke kedai kraf tangan. Barang jualan sini cantik, harga berpatutan.

Berjalan ke hujung kawasan waterfront Belaga, terdapat deretan kedai makan halal. 

Kedai makan makan halal dibuka sehingga malam, malah ada kedai sudah menerima pembayaran e-wallet. 

Ini menandakan pekan Belaga sudah mempunyai akses internet yang bagus. 

Pekan Belaga ini adalah nadi ekonomi penduduk etnik suku kaum Penan, Kenyah, Kayan, Kajang, Punan, Sihan, Ukit, Lahanan dan Sekapan.

Perjalanan epik ke Lusong Laku

Malam tadi, semasa menikmati makan malam, kami berbincang dan memutuskan untuk pergi ke Lusong Laku.

Kami bernasib baik kerana penduduk tempatan pekan Belaga begitu peramah. Berpandukan maklumat penduduk, kami berjaya menjejaki Harun Ramli, anak tempatan yang menetap Lusong Laku. Dia kerap berulang-alik ke pekan Belaga membawa penumpang.

Sekitar jam 1.30 petang kami menerima isyarat dari Harun untuk bertolak. Maka bermulalah perjalanan epik kami dari pekan Belaga menuju ke Lusong Laku.

Harun bertindak sebagai jurupandu kami memandu sebuah pacuan empat roda di hadapan kami. Dia turut membawa penumpang Penan yang pulang ke Lusong Laku. Kami perlu melalui Murum yang jaraknya antara pekan Belaga kira-kira 114km, melalui jalan berturap. Namun ada masanya pemanduan seperti menunggang unta.

Kenderaan kami perlu mengelak permukaan yang berlubang, berbonggol dan ada juga sebahagian jalan pecah serta beralun. Jalan ke Murum berturap tapi rosak teruk.

Kerosakan ini berpunca akibat kenderaan berat dan lebih had muatan. Setiap tahun kerajaan membelanjakan sebanyak RM4 juta untuk penyelenggaraan rutin jalan ini. 

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2023, sebanyak 762 kerja tampalan potholes telah dilaksanakan di laluan tersebut.

Laluan ini adalah akses menuju ke daerah Belaga, daerah Kecil Sungai Asap, Hidro Bakun dan Hidro Murum selain terdapat beberapa sekolah di kawasan ini. Ia merupakan laluan keluar masuk dari 30 rumah panjang dan perkampungan di sepanjang Jalan Bakun, Jalan Murum, Jalan Belaga, Jalan Sungai Asap dan Jalan Tubau. 

Infrastruktur ini membuka peluang kepada penduduk tempatan meningkatkan sumber pendapatan melalui tanaman sawit, industri desa dan homestay.

Di simpang Murum, kami sempat membeli makanan untuk mengalas perut. Kami bertolak dari sana kira-kira jam 3.50 petang menuju ke Batu Tungun View Point. 

Batu Tungun ini merupakan penempatan asal Penan sebelum mereka dipindahkan ke penempatan semula di Metalun dan Tegulang bagi memberi laluan kepada pembinaan Empangan Hidro Murum. 

Kawasan ini dianggap sakral bagi Penan Bungan. Sebagai penjaga Batu Tungun, mereka pernah membantah pembinaan empangan ini kerana khuatir ia menenggelamkan ‘batu suci’ di kawasan itu.

Lalu kerajaan negeri dan Sarawak Energy Berhad melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) membina tapak ritual ini, sebagai penghormatan kepada penduduk Penan di situ. 

Setiap tahun penduduk Penan dari Metalun dan Tegulang akan berkumpul di sini meraikan upacara pemberkatan Batu Tungun sama seperti sambutan Gawai Dayak yang diraikan setiap 1 Jun. 


Ketika kami sampai, ada sekumpulan remaja Penan duduk-duduk di situ. Difahamkan, sebentar tadi sebelum kami tiba ada ritual pemberkatan batu. Ia turut dihadiri wakil rakyat kawasan.

Dari view point ini, berdiri megah Empangan Murum, 100 peratus milik kerajaan negeri Sarawak. Empangan ini mempunyai alur limpah tertinggi di dunia iaitu 141 meter dan rekabentuknya yang inovatif bertaraf dunia.

Empangan Murum adalah empangan hidroelektrik kedua milik SEB selepas Loji Hidroelektrik Batang Ai di Bahagian Sri Aman. Empangan berharga RM4.1 bilion ini dibina pada 2008 dan beroperasi sepenuhnya pada 2016. 

Dengan keupayaan membekalkan tenaga sehingga 944 megawatt, Empangan Murum ini merupakan strategi kerajaan negeri untuk mencapai status negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030. Setakat ini, tarif elektrik di Sarawak merupakan yang terendah di Malaysia.

Kami kemudian beredar meninggalkan Batu Tungun View Point kerana jam sudah menunjukkan 5.20 petang. Angin pergunungan yang bertiup cukup menyejukkan walaupun menggunakan baju dua lapis. Dari jalan raya berturap Murum, kenderaan Harun membelok ke simpang jalan tanah merah. Menurutnya, jarak dari dari Batu Tungun ke Lusong Laku sekitar 40 km.

Kenderaan kami mulai bergerak perlahan. Ini kawasan kem pembalakan. Kami melintasi gudang penyimpanan kayu balak. 

Kegiatan yang berlangsung sejak lebih 100 tahun lalu telah menjana hasil berbilion-bilion ringgit mungkin dapat memenuhi Empangan Murum.

Ironinya, selepas lebih 100 tahun hasil hutan dinikmati, usaha mengiktiraf kewarganegaraan penduduk Penan di Lusong Laku hanya berlaku beberapa belas tahun lalu.

Berdasarkan pembacaan, Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berjaya meluluskan permohonan Mykad bagi 227 masyarakat Penan dan 125 permohonan bagi pendaftaran kelahiran yang lewat didaftarkan pada 29 Julai 2009, selepas 46 tahun Sarawak merdeka.

Kenderaan kami terus mengikuti Harun. Untuk 15 minit yang pertama, pemanduan berjalan lancar walaupun perlahan. Tanah merahnya agak lembab kerana hujan telah turun sebelum kedatangan kami. Jika musim kemarau, jalan ini pasti dipenuhi debu. Jika hujan, jalan becak amat sukar untuk dilalui. Mungkin terpaksa bermalam di tepi hutan. Itulah fitrah yang perlu dihadapi penduduk Penan dari Lusong Laku yang melalui jalan balak ini, selama lebih empat dekad.

Jalan balak inilah yang digunakan penduduk keluar ke Belaga membeli keperluan dan menghantar anak-anak sekolah. Jalan balak ini juga membolehkan pasukan kami pergi ke Lusong Laku untuk melihat kehebatan jeram dan air terjun Lusong Laku.

Hampir pukul 6 petang, kami berhenti di tengah jalan. Apa papan tanda besar, Selamat Datang ke Uma Badeng Long Magan Tegulang. Jalan masuk ke sana nampaknya sudah berturap cantik. 

Sedikit memberi motivasi kepada kami bahawa hulu Belaga tidaklah seteruk mana. Ada beberapa gerai diletakkan buah nanas, cili dan dan buah pisang. Tiada penjual, hanya perlukan kejujuran si pembeli untuk membayar harga yang ditetapkan di dalam kotak kayu yang disediakan. Buah nanasnya sangat besar, bukti tanah tinggi yang subur. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum Kennedy Chukpai Ugon berkata, projek menaiktaraf jalan ke Lusong Laku terbahagi kepada dua fasa dengan Fasa 1 sedang giat dilaksanakan oleh Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA).

Menurutnya,  skop kerja adalah menggantikan semua jambatan kayu di sepanjang laluan 22km ke Lusong Laku dan jalan konkrit sepanjang 2km pertama dengan kos RM20 juta.

Kami terus bergerak. Suasana bertukar gelap. Hutan, gaung di kiri kanan tiada lagi kelihatan. Malah kenderaan Harun di hadapan hilang dari pandangan. Malam itu kenderaan kami tersangkut dalam lumpur akibat hujan. Mujurlah Harun membantu dan kami akhirnya tiba di Lusong Laku kira-kira jam 10 malam. Kami menginap di Homestay Nur Damia, milik isteri Harun. 

Kami menikmati makan malam di bawah terang lampu solar yang disediakan kerajaan negeri dan SEB dibawah inisiatif Skim Elektrik Luar Bandar Sarawak atau SARES. Kebetulan panel tenaga solar tersebut terletak beberapa meter sahaja dari penginapan kami. 

Kami cuba bertanya jurucakap Sarawak Eenergy Berhad berapa harga projek itu, namun pertanyaan kami dijawab dengan pertanyaan yang sukar untuk kami jawab memandangkan kami hanyalah sebuah portal tidak berdaftar di Kementerian Penerangan Digital Kerajaan TataKelola Wawenang Madani Perpaduan Cerakin Kerterjaminan Makanan pimpinan Papa Kejatuhan Ringgit Malaysia dan Kenaikan Bunga Bank Pinjaman Arahan Bank Negara bukannya Menteri Kewangan Malaysia, Anwar Ibrahim.

Bekalan air pula disalurkan menggunakan paip air graviti. Ketika ini projek menaiktaraf bekalan air graviti kepada loji rawatan air berteknologi tinggi sedang dilaksanakan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun. Kontraktor sudah membuat kerja di lapangan, kata Harun. Kami juga melalui kawan kawan bertanya Datuk Julaihi Narawi berapa harga projek itu, tidak dilayan juga.

Sepanjang malam kami kesejukan walaupun tidur berselimut tebal. 

Pagi esoknya, kami bangun awal pagi dan bergerak ke rumah panjang Penan yang terletak tidak jauh dari homestay. Rumah panjang ini menempatkan kira-kira 650 penduduk daripada 78 pintu, tidak termasuk penduduk dari luar yang menetap di situ.  

Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah meluluskan bantuan berjumlah RM100,000 untuk membeli bahan membina rumah bagi tiga penempatan Penan termasuk Lusong Laku (RM50,000), Long Abit dan Long Kajang (masing-masing RM25,000). Kerajaan tidak pernah menyisihkan mereka.

Perkampungan ini mempunyai sekolah rendah dan klinik kesihatan. Ketua Kampung atau Maren Uma Tinggang Jati berkata, masalah utama yang dihadapi oleh penduduk ialah bekalan air bersih, pengangkutan dan telekomunikasi.

Menurutnya, bekalan air yang disediakan sistem air graviti belum mencukupi bagi menampung keperluan penduduk di situ. Memburukkan keadaan, tadahan paip kerap rosak setiap kali hujan lebat dan banjir. 

Katanya ketika era pemerintahan Barisan Nasional di bawah bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, penduduk Lusong Laku menerima bantuan tangki komuniti 1Malaysia.


“Kami amat berharap kerajaan Perpaduan dapat memberikan bantuan tangki biru atau tangki komuniti sebagaimana kerajaan Najib lakukan sebelum ini,” katanya ketika ditemubual Borneo Network.

Tinggang juga berharap kerja-kerja membaiki jalan disegerakan bagi memudahkan pergerakan penduduk Lusong Laku ke dunia luar.

“Masalah utama yang membebani kami sekarang ialah menghantar anak-anak menyambung sekolah di SMK Bakun atau SMK Belaga. Kos pengangkutan amat mahal dan bantuan yang diberikan Tabung Amanah Bakun sebanyak RM100 tidak mencukupi,”katanya.

Penduduk di kampung ini juga amat dahagakan kemudahan telekomunikasi untuk membolehkan mereka berhubung dengan dunia luar. Sejak sekian lama warga Lusong Laku berharap dapat menikmati capaian internet yang baik seperti kawasan pedalaman lain.

Menurut Tinggang, walaupun sudah ada tapak untuk mendirikan tiang telekomunikasi di kawasan itu, namun setakat ini pembinaan belum bermula. Semoga disegerakan oleh team Datuk Julaihi Narawi.

Kami meneruskan perjalanan ke Air Terjun Lusong Laku, jaraknya beberapa minit menggunakan pacuan empat roda dari homestay. Dari jauh sayup bunyi hentaman Air Terjun Lusong Laku dengan ketinggian 20 kaki, membuatkan kami terpukau dan terpegun. 

Tiada kata yang dapat diungkapkan untuk mengambarkan betapa cantiknya Air Terjun Lusong Laku. Namun semasa kami di sana, airnya keruh kerana hujan di hulu. Terdapat sisa balak tersangkut di tebing air terjun tersebut. Airnya amat deras, menjunam dari atas ke bawah dan menghempas ke bawah mengeluarkan percikan seperti kabus putih. Aktiviti mandi-manda tidak sesuai kerana amat berbahaya, bimbang hanyut sampai ke Empangan Bakun.

Air Terjun Lusong Laku ini cukup terkenal kerana keindahannya sehingga digelar Niagara Falls Malaysia. Ia merupakan salah satu daripada tiga air terjun yang ada di Sungai Linau dan terbesar di Batang Rajang. Air terjun ini datang dari Long Tanyit dan mengalir ke Bakun. Ketika musim kemarau, sungai air terjun ini merupakan syurga kepada pemancing tegar ikan air tawar seperti empurau dan semah. 

Walapun air terjun ini begitu popular di pelantar media sosial, namun masalah pengangkutan dan ketiadaan akses jalan raya yang baik menyebabkan kawasan ini jarang dikunjungi.

Terdapat sembilan homestay di kawasan air terjun tersebut yang menyediakan perkhidmatan dengan harga yang berpatutan. Kesungguhan komuniti tempatan mengusahakan homestay ini wajar mendapat pujian. 

“Namun keadaan jalan yang teruk menyukarkan pelawat datang ke sini, terutama pada musim hujan. Sejak kebelakangan ini kami langsung tiada menerima pelawat,” kata pengusaha Homestay Damia, Huring Anyie.

Harun juga memberitahu kami, Lusong Laku ini mempunyai kawah gunung berapi namun tidak aktif. Kami menerbangkan dron, memang terdapat kawah besar namun ia tidak dapat dilihat jelas kerana ditutupi hutan tebal.

Banyak potensi alam Lusong Laku menunggu untuk diterokai. Tanahnya hitam subur, sayang hasil taninya tidak dapat dipasarkan kerana jauh. Hasil tanaman di jual sesama sendiri. Seperti biasa sudah ada pekebun cina masuk meneroka, menggaji pemuda Penan sebagai pekerja.

Dalam perjalanan pulang, teringat kata-kata Tinggang Jati.

“Kami merasakan seperti tiada perubahan di Lusong Laku. Harapan kami selepas ini ialah melihat kemajuan dari segi projek terutama kemudahan asas memandangkan kawasan kami amat jauh ketinggalan,” katanya.

Luahan ketua kampung Lusong Laku itu ada benarnya, namun jumlah penduduk yang kecil berbanding kos pembangunan yang sangat tinggi menyukarkan kerajaan Sarawak membuat justifikasi keutamaan.

Kerajaan Sarawak perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM641,666.70 untuk setiap kepala bagi membina jalan ke perkampungan masyarakat Lusong Laku di ulu Sungai Linau.

Realiti sebeginilah perlu difikirkan pembuat dasar serta perancang pembangunan yang melaksanakan projek di kawasan pedalaman Sarawak. Bukan cakap kosong macam Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ketika menjadi pembangkang, apabila menjadi kerajaan terkebil kebil macam cicak makan kapur ketika menguruskan harga ayam di bandar, belum lagi mencari wang mahu membina jalan ke perkampungan Penan.

Ramai berkata jalan di Semenanjung sangat cantik bertingkat-tingkat, boleh pula dibina. Sarawak,khususnya kawasan pedalaman tak boleh. Pilih kasih, menganak-tirikan komuniti minoriti orang asal.

Hakikatnya, lebuhraya di Tanah Besar Malaya adalah pelaburan komersil, yang berlandaskan Return Of Investment - ROI kata orang tua lama mensia di kedai kopi.

Semua lebuh raya ini perlu dibayar untuk digunakan, melibatkan populasi berjuta-juta orang berbanding kampung seperti Lusong Laku yang hanya dihuni 650 orang penduduk.

Lebuhraya Pan Borneo pun memakan masa 60 tahun untuk disiapkan mengambilkira kos RM12 billion menaiktaraf jalan sedia ada kepada lebuh raya berkembar percuma – Tiada Tol. 

Apabila kita malas membaca dan berfikir, kita senang diperbodohkan dengan maklumat yang tidak tepat.

Menurut data rasmi Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan pada 2020, Sarawak memerlukan perbelanjaan besar antara RM5.7 juta hingga RM12.5 juta bagi satu kilometer, mengikut jenis standard jalan yang dibina.

Anggaran bagi pembinaan satu kilometer jalan raya berturap atau tar seal bagi tanah gambut adalah antara RM5.7 juta hingga RM12.5 juta.

Anggaran bagi kawasan berbukit-bukau dan di kawasan pergunungan adalah antara RM6.3 juta hingga RM10.7 juta manakala kawasan tanah rata adalah di antara RM4.17 juta hingga RM10.4 juta. 

Pernah satu ketika ditularkan jalan Sarawak mahal akibat rasuah. Perang saraf didalangi seorang pondan tua. Celah mana seorang pondan tua itu boleh menyatakan kos membuat jalan raya di Sarawak satu kilometer cuma RM25,000? Kos sewa lori, beli tanah, kos beli batu pun tak lepas, budak sekolah menengah pun faham berapa nilai RM25,000 di abad ke 21 ini.

Dengan saiz sebesar Semenanjung Malaysia dan mempunyai lebih 6,000 penempatan berselerak seluruh Sarawak, tugas membina jalan raya di luar bandar satu cabaran besar. 

Pun begitu, ia adalah laluan penting untuk tujuan ekonomi dan sosial kepada rakyat Sarawak di pedalaman.

Sebahagian besar penempatan ini terletak di kawasan berbukit-bukau, dipisahkan banyak sungai dan jeram serta terasing lagi terpencil. Begitulah nasib perkampungan Penan di Lusong Laku.

Jika dahulu dianggarkan RM275 juta (RM275,000,000) untuk membina jalan berturap sepanjang 55 kilometer ke Lusong Laku dari Simpang Murum di Batu Tungan, hari ini kos semakin melambung naik.

"Mungkin hari ini harga sudah meningkat kepada RM385 juta (RM385,000,000) berikutan kenaikan harga barang selepas pandemik Covid-19,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Murum, Kennedy Chukpai Ugon kepada Borneo Network.

Kementerian Pelancongan (MOTAC) sebelum ini telah mengenalpasti Lusong Laku sebagai satu daripada sembilan kluster ekopelancongan yang berpotensi untuk dibangunkan di Sarawak, meliputi inisiatif community based tourism (CBT) dalam kluster tersebut. 

Air Terjun Lusong Laku umpama permata tersembunyi yang berpotensi dijadikan salah satu produk ekopelancongan yang menarik di Malaysia.

Jujur kami nyatakan, buat masa ini kos pemandu pelancong sahaja sekitar RM700 untuk perjalanan pergi balik ke Lusong Laku. Golongan marhaen perlu menunggu jalan siap jika mahu ke sini.

Memang benar, Lusong Laku satu keajaiban, namun tiada pelawat.

Selamat menyambut kemerdekaan ke 60 Sarawak.

Visual – Saharudin Abu Seman, 6th Division Skyline

Tulisan – Sudan Ajang, Editor Borneo Network
Suntingan – Abdul Hakim Bujang, wartawan pelatih Borneo Network
Next Post Previous Post